MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis memutuskan untuk membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7 juta.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu juga dilepaskan lima pertuduhan kerana gagal mengisytiharkan harta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K. Muniandy mengeluarkan perintah tersebut selepas meluluskan permohonan Rosmah untuk membatalkan semua pertuduhan.
BACA LAGI: Peguam Negara masih pertimbang representasi Rosmah Mansor minta gugur tuduhan
BACA LAGI: Rosmah mohon tangguh prosiding kes saman kehilangan lebih 40 barang kemas
Dalam prosiding itu, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Rosmah juga didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018 bagi pertuduhan LHDN.
Bercakap selepas prosiding, Rosmah mengatakan ia adalah hari jadi yang bermakna buat dirinya.
"Para peguam saya sudah memberikan jaminan sejak hari pertama yang pendakwaan ini tiada asas, tetapi anda tidak boleh terlalu pasti.
"Pembebasan saya pada hari lahir saya bukan sekadar hadiah bermakna buat diri sendiri tetapi buat Bossku (Najib Razak).
"Inilah yang saya katakan keadilan," ujar Rosmah.
Pada 4 Oktober 2020, Rosmah memfailkan permohonan untuk membatalkan kesemua pertuduhan terbabit.
Rosmah menghantar representasi pertamanya pada 3 Mei tahun lalu, diikuti representasi kedua pada 18 Ogos lalu dan ketiga 12 Disember lalu.
Susulan itu, peguam bela Rosmah, Amer Hamzah Arshad meneruskan prosiding dengan mengemukakan hujahan dalam permohonan Rosmah untuk menggugurkan tuduhan dengan menegaskan pertuduhan dihadapi anak guamnya adalah tidak berasas.
Amer Hamzah berhujah, tuduhan tersebut tidak mempunyai butiran lengkap sedangkan objektifnya adalah untuk memberi notis kepada anak guamnya selain maklumat kesalahan tidak dinyatakan menjadikan ia (tuduhan) tidak berasas.
Menurutnya, terdapat pertindihan dalam tuduhan berkenaan iaitu anak guamnya dituduh melakukan kesalahan yang sama sebanyak dua kali.
Pihak pendakwaan mencipta sebanyak mungkin pertuduhan sebagai set fakta yang sama, sedangkan ia tidak adil dan tidak berperlembagaan.
Rosmah bagaimanapun masih meneruskan prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion. — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram