PIHAK pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Jumaat.
Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata, permohonan itu dilakukan oleh pihak pendakwaan kepada Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Rosmah, 73, untuk membatalkan 17 pertuduhan yang dipertuduhkan ke atasnya.
Mahkamah Tinggi pada Khamis melepaskan Rosmah daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dengan nilai melebihi RM7 juta serta lima pertuduhan gagal mengisytihar harta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
BACA LAGI: 'Hadiah hari jadi bermakna', Rosmah bebas 12 tuduhan ubah wang haram RM7 juta, gagal isytihar harta
BACA LAGI: Peguam Negara masih pertimbang representasi Rosmah Mansor minta gugur tuduhan
"Susulan itu, notis rayuan telah difailkan oleh Pendakwa Raya hari ini (Jumaat) terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut untuk diputuskan oleh Mahkamah Rayuan," kata Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Hakim K. Muniandy dalam keputusannya memutuskan pertuduhan terhadap Rosmah adalah tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam pertuduhan yang dikenakan.
Rosmah yang dibebaskan pada hari jadinya menganggap ia sebagai hadiah paling bermakna kerana ia juga merupakan berita baik buat suaminya iaitu Datuk Seri Najib Razak.
"Para peguam saya sudah memberikan jaminan sejak hari pertama yang pendakwaan ini tiada asas, tetapi anda tidak boleh terlalu pasti.
"Pembebasan saya pada hari lahir saya bukan sekadar hadiah bermakna buat diri sendiri tetapi buat Bossku (Najib Razak).
"Inilah yang saya katakan keadilan," ujar Rosmah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram