Harga siling dianggap tak relevan, PeSAWAH bantah cadangan turunkan harga padi ke RM1,300


  • Massa
  • Rabu, 08 Jan 2025

Penghapusan subsidi diesel antara punca kos operasi penanaman padi semakin meningkat.

PERTUBUHAN Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) sebulat suara membantah cadangan mengurangkan harga padi dari anggaran RM1,500 sehingga RM1,800 ke RM1,300 bagi setiap tan metrik.

"Harga ditetapkan pengusaha kilang padi dalam pertemuan dengan Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) adalah tidak adil dan tidak menceritkan kos sebenar penghasilan beras yang sudah meningkat.

"Harga siling RM1,300 yang ditetapkan pada 2023 tidak lagi relevan pada hari ini," kata Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: Habis SPM terus jadi pesawah, Mohd Amirul raih pendapatan RM6,000 sebulan

BACA LAGI: Graduan UIS jana pendapatan RM6,000 sebulan, bantu pesawah sembur racun guna dron

2177422

Abdul Rashid menganggap harga baharu itu akan membebankan petani.

Menurutnya, harga benih padi sudah meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding pada dua tahun lalu dengan kos baja dan menuai juga sudah meningkat ekoran penghapusan subsidi diesel.

"Terdapat lonjakan harga sewaan tanah selain kos baja kimia dan racun serangga yang perlu ditanggung pesawah bagi mengerjakan tanaman. Kami kesal bahawa mesyuarat berkaitan harga siling padi oleh kerajaan dan pengusaha kilang dibuat tanpa kehadiran wakil petani.

"PeSAWAH meminta kerajaan untuk menilai semula harga siling untuk tanaman padi dan mengambil kira faktor lain seperti peningkatan kos penghasilan beras selain kebajikan pesawah," katanya.

Menurutnya, pihak kementerian mesti menurunkan kos benih padi sah kepada RM45 per beg dan kos-kos lain, sekiranya masih mahu mengekalkan harga beras kepada RM2.60 sekilogram dan menurunkan harga padi kepada RM1300 per tan.

"PeSAWAH juga menggesa agar kerajaan melibatkan wakil pesawah dalam sebarang perbincangan berkaitan dasar dan harga padi pada masa hadapan. Kegagalan berbuat demikian hanya akan memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan industri padi negara," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram