
PERTUBUHAN Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) nekad terus bersuara dari semasa ke semasa jika isu melibatkan industri beras dan padi tidak diselesaikan secara holistik oleh kerajaan.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusinya, Abdul Rashid Yob, selepas beberapa siri penyerahan memorandum kepada Parlimen dibuat, namun masih ada isu yang belum diselesaikan.
Menurut beliau, pihaknya belum menerima diesel bersubsidi (fleet card) seperti yang dijanjikan oleh kerajaan enam bulan lalu.
Justeru, mereka mahu kerajaan mempercepatkan pemberian fleet card itu kepada golongan petani bagi membantu mengurangkan kos penggunaan jentera terlibat khusus dalam tanaman padi.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
"Diesel untuk tanaman padi, kita tengok seperti pekebun sayur di Cameron Highlands, dalam tempoh dua minggu mereka sudah dapat fleet card, tetapi sehingga hari ini kami masih belum menerima sejak 10 Jun lalu menyebabkan kos itu ditanggung kami sendiri sebanyak 30 peratus dan ke atas," katanya.
Pada Mei lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan pemberian bantuan tunai subsidi diesel sebanyak RM200 kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur melalui Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi bertujuan menstabilkan kos operasi pertanian.
Selain itu, pihaknya turut menggesa kerajaan menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,800 per tan.
Kata Abdul Rashid, sekiranya harga lantai belian padi itu tidak dinaikkan, pesawah terpaksa menanggung sendiri kos yang semakin tinggi sekali gus membebankan mereka dalam membantu kerajaan memastikan keterjaminan makanan rakyat.
"Setelah penyelarasan diesel yang diumumkan bulan lalu, kami berharap ada suatu perkara yang melibatkan harga lantai kerana sekarang ia tidak mampu menjamin pesawah.
Menjawab dakwaan berhubung terdapat beras tempatan dicampur dengan beras import, katanya perkara itu terjadi ekoran berlaku ketidakseimbangan pada harga padi, belian benih serta harga beras putih.
"Jika harga lantai kekal pada RM2.60 per kilogram (kg) dan tiada perubahan sejak 16 tahun, ditambah pula dengan kos yang meningkat menyebabkan pihak pengilang mungkin akan bertindak membungkus semula beras tempatan yang diproses dan dilabelkan sebagai beras import," jelasnya.
Tambahnya, satu pertemuan antara pihak pengilang terlibat dengan PeSAWAH telah diadakan bagi membincangkan perkara itu.
"Kami sudah bersemuka dengan pengilang. Kata mereka, kalau harga beras putih masih RM2.60, sukar untuk memastikan harga lantai dinaikkan berikutan kos yang tinggi untuk ditampung.
Sementera itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu di Dewan Rakyat hari ni memaklumkan, kementeriannya akan membincangkan mengenai penetapan harga lantai belian padi kepada RM1,500 satu tan, dengan semua pihak berkaitan.
Katanya, harga minimum belian padi kini ditetapkan pada kadar RM1,300 bagi setiap tan metrik dan pelaksanaannya juga melibatkan Sabah dan Sarawak mulai 15 Februari lalu.
Tambahnya lagi, kerajaan juga bakal mempertimbangkan cadangan untuk menyelaras harga jualan padi di seluruh negara dan akan dimuktamadkan selepas kajian terperinci mengenai penyelarasan harga baharu dibuat dalam masa terdekat.
"Kajian ini bertujuan memastikan kestabilan harga padi di semua kawasan dan membantu meningkatkan pendapatan pesawah secara adil.
"Ini adalah sebahagian daripada reformasi industri padi dan beras yang sedang dilaksanakan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram