'Jadilah mata lebah', rakyat Kedah syukur SADA turun bantu rakyat ditimpa musibah


  • Massa
  • Selasa, 19 Nov 2024

SADA bersama tiga agensi lain menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa kejadian ribut dan banjir di Pendang, baru-baru ini. — Ihsan SADA

DALAM meringankan beban rakyat Kedah yang menghadapi musibah banjir, Syarikat Air Darul Aman (SADA) turun membantu enam penduduk yang terjejas dengan memberi sumbangan keseluruhan berjumlah RM37,700.

Sumbangan tersebut meliputi bantuan menampung kos memperbaiki bumbung rumah penduduk yang terlibat dengan bencana banjir dan ribut taufan yang melanda negeri itu baru-baru ini.

Penyerahan cek replika kepada penerima diadakan pada Majlis Penyerahan Projek Siap Program Bantuan Pasca Banjir Dan Ribut Taufan Daerah Pendang di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Pendang pada 13 November lalu.

BACA LAGI : [VIDEO] Tragedi 'water rafting' ragut nyawa staf JKR, penduduk di Sg Kampar dakwa takut kepala air, tak berani turun sungai

BACA LAGI : Perkelahan bersama keluarga bertukar tragedi, wanita hanyut dibawa kepala air di Sungai Sedim ditemukan lemas

Usaha murni itu juga merupakan usahasama dengan tiga lagi agensi lain iaitu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Kedah, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Pejabat Daerah dan Tanah Pendang demi memastikan kebajikan rakyat di negeri itu terbela.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Pendang, Nasrun Mohd Sheriff; Pengarah Lembaga Pembangunan CIDB Kedah, Muhammad Fariq Abdul Hamid; Penolong Ketua Pegawai Agihan LZNK, Yussof Ahmad serta pegawai-pegawai daripada setiap agensi.

Menyentuh soal sumbangan itu, pembaca Majoriti yang hanya mahu dikenali sebagai Azman mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha dan kesungguhan SADA menghulurkan bantuan bagi meringankan beban rakyat Kedah.

Dalam penulisannya menerusi kiriman Whatsapp, Azman berkata, program tanggungjawab sosial (CSR) yang dilaksanakan SADA menunjukkan syarikat itu tidak mementingkan soal keuntungan semata-mata apabila memastikan hasil pendapatannya dapat disumbangkan kembali kepada masyarakat yang memerlukan bantuan dan ditimpa musibah.

Walaupun mengakui masih berlaku isu bekalan air di negeri Jelapang Padi itu, Azman sebagai salah seorang rakyat Kedah memahami dengan usaha SADA menyelesaikan isu tersebut.

"Saya percaya SADA telah membuat perancangan rapi dalam menangani isu bekalan air dengan menyediakan lori air ke kawasan yang terjejas.

"Malah saya difahamkan, syarikat itu dalam proses menukar paip dan menaik taraf loji rawatan sebagai perancangan jangka panjang untuk kesenangan rakyat Kedah.

"Jadi kita sebagai rakyat, perlu menjadi mata lebah yang mencari hal baik dan bukannya menjadi mata lalat.

"Terima SADA atas bantuan ini, dan peranan kita sebagai pengguna pula perlu bertanggungjawab menggunakan air dengan cermat dan membayar bil mengikut waktu yang ditetapkan," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram