
YANG di-Pertuan Agong telah dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang ketujuh pada Rabu.
Istiadat pemasyhuran Sultan Ibrahim itu dilangsungkan bersempena dengan Istiadat Konvokesyen UiTM yang ke-100 di kampus induk UiTM, Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, Selangor.
Watikah pemasyhuran disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kepada Sultan Ibrahim.
BACA LAGI: Nikmati pengalaman sendirian dengan selamat, 5 tip berguna buat pengembara solo
BACA LAGI: Cita rasa Melaka, 5 destinasi 'syurga makanan' goda selera
Dalam ucapannya, Zambry menjelaskan bahawa mengikut Seksyen 19A (2) Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173), Canselor UiTM adalah Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu, Sultan Ibrahim juga akan mempengerusikan konvokesyen universiti itu sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 19A (1) akta tersebut.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.
Istiadat pemasyhuran Sultan Ibrahim di kampus induk UiTM, Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam.
Selain itu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif pada majlis yang sama.
Dalam ucapan aluan, Naib Canselor UiTM, Prof Dr Shahrin Sahib merakamkan penghargaan atas pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Canselor UiTM.
Beliau turut menyatakan komitmen universiti untuk terus menghasilkan graduan yang berkemahiran tinggi dan dapat memberi sumbangan kepada pembangunan negara.
"Dengan penuh kesyukuran, seluruh warga UiTM menjunjung kasih di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong dan berharap agar institusi ini terus berkembang dalam memupuk kesarjanaan serta kecemerlangan akademik agar setanding dengan bangsa-bangsa lain," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram