Peminat gimnastik kenang peristiwa rakan seperjuangan lumpuh sebelum harumkan nama Malaysia di Sukan Komanwel Melbourne 


  • Massa
  • Ahad, 05 Jan 2025

Aksi piramid manusia di La Salle Peel, Kuala Lumpur sekitar 1967.

DIBESARKAN bersama sekumpulan rakan sekolah yang mempunyai minat terhadap dunia gimnastik membuatkan Pao Fook Seong tertarik dengan sukan tersebut.

Keanggunan, gaya berani dan kekuatan yang dipamerkan dalam setiap pergerakan gimnastik juga memikat hatinya sejak di bangku sekolah lagi.

Baginya yang kini penulis di The Star, gimnastik merupakan satu bentuk disiplin terutamanya dalam dunia yang penuh dengan cabaran ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Balik kampung nak jaga mak, bekas pelajar GiatMARA Muar tepis persepsi tukang jahit kampung kuno

BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung

Berkongsi serba sedikit tentang rutin hariannya pada waktu itu, katanya, dia dan rakan seperjuangan membuat latihan secara berkala iaitu tiga kali seminggu selepas waktu sekolah dan ada kalanya setiap Ahad.

Padanya, pengalaman itu memberi kesan yang berbeza dan sangat berharga meskipun ada kebimbangan daripada ibu bapa terhadap prestasi serta fokus untuk pelajaran.

“Namun, apabila dikenang kembali, rata-rata kami dapat belajar dengan lebih baik selepas latihan.

“Ia sebenarnya lebih meningkatkan daya tumpuan kami kerana dapat lari daripada sebarang gangguan sebelum beralih kepada buku,” katanya.

WhatsApp Image 2025-01-04 at 14.17.47

Fook Seong (depan, kiri) bersama rakan seperjuangan dalam sukan gimnastik.

Semangat Fook Seong dan rakan-rakannya tidak dapat dinafikan lagi apabila mereka sanggup menggunakan lapik gimnastik direka dengan bahan semula jadi.

Katanya, mereka hanya menggunakan lapik diperbuat daripada sabut kelapa yang dianyam oleh tukang tilam tradisional.

Setiap lapik berbentuk segi empat panjang perlu dicantumkan untuk membentuk permukaan yang lebih panjang bagi membolehkan mereka melakukan latihan dengan selesa.

“Latihan kami termasuk roll depan dan belakang, cartwheel, balik kuang, handspring dan banyak lagi sehingga peringkat lebih tinggi,” katanya.

Kongsinya lagi, kecederaan bukanlah perkara luar biasa buat para atlet gimnastik seperti mereka.

Katanya, antara atlet gimnastik berbakat dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 di sekolahnya, Peter Yong pernah cedera dan patah tangan apabila tersepit di antara dua lapik.

Namun, Peter bangkit semula dengan penuh semangat selepas pulih daripada kecederaan itu.

“Kecederaan adalah perkara tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seorang atlet yang berdedikasi.

“Saya sangat mengagumi semangat juang dan ketabahan rakan-rakan lain iaitu Mike Ng dan Chin Wah Yin yang telah mengalami kecederaan leher serius,” jelasnya.

Kata Fook Seong, kecederaan Mike berlaku ketika mencuba untuk melakukan aksi balik kuang dua kali atau double-back somersault, tetapi gagal mendarat dengan betul sehingga menyebabkan lehernya patah.

Syukur, nyawanya dapat diselamatkan dengan pembedahan yang dilakukan oleh seorang pakar berpengalaman.

Manakala, Wah Yin pula mengalami kecederaan leher akibat putaran berlebihan semasa aksi Yamashita over vault di atas kotak lompat yang sepatutnya diletakkan secara melintang, tetapi ia diletakkan secara menegak pada waktu itu.

“Wah Yin terlantar di katil hospital dengan alat bantuan khas dipasang pada tengkoraknya untuk meregangkan vertebra yang terhimpit ke tempat asalnya.

“Kedua-duanya menjalani tempoh pemulihan yang panjang termasuk kelumpuhan sementara sebelum berjaya sembuh sepenuhnya,” ceritanya.

Sebagai seorang peminat gimnastik sejati, Mike kemudiannya menjadi atlet gimnastik kebangsaan sehingga dapat berkhidmat sebagai pengurus pasukan gimnastik negara ke Sukan Komanwel Melbourne 2006.

Wah Yin pula meraih gelaran juara remaja dalam Kejohanan Jemputan Gimnastik Singapura pada 1972.

Hidup yang dahulunya hampir berada di ambang maut, penuh dengan ketidakpastian mengenai masa depan, kini diberikan peluang kedua untuk membolehkan mereka berkongsi pengalaman pahit dan manis kepada masyarakat.

Fook Seong berkata, gimnastik hari ini lebih selamat berbanding dahulu dengan langkah keselamatan yang lebih ketat serta kemajuan teknologi dalam sesi latihan.

Katanya, hasil didikan daripada jurulatih gimnastik Edward Tham dan Siew Hoong membuahkan hasil apabila anak didiknya berjaya bertanding dalam Kejohanan Gimnastik Sekolah Antarabangsa Kebangsaan pada 1979.

“Dengan sumbangan dan latihan percuma Siew Hoong kepada kelab gimnastik perempuan di Sekolah Jalan Davis, Kuala Lumpur, semakin ramai pelajar yang tertarik untuk belajar sukan itu.

“Motivasi mereka untuk berbakti sebagai sukarelawan patut dipuji kerana anak didik mereka kini menjadi rakan baik sehingga sekarang,” tambahnya. — The Star/PAO FOOK SEONG

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram