Tanah runtuh akibatkan penduduk Taman Pinggiran Batu Caves pening kepala kerap kena hadap banjir kilat


  • Massa
  • Sabtu, 04 Jan 2025

Kejadian tanah runtuh yang berulang kali berlaku di sepanjang Jalan Pinggiran 3/4, Taman Pinggiran Batu Caves merosakkan dinding longkang monsun sekali gus menyebabkan banjir kilat kerap berlaku di kawasan itu.

KEJADIAN tanah runtuh yang berulang kali berlaku di sepanjang Jalan Pinggiran 3/4, Taman Pinggiran Batu Caves, Selangor merosakkan dinding longkang monsun sekali gus menyebabkan banjir kilat kerap berlaku di kawasan itu.

Seorang penduduk, Doraisamy Muthusamy, 77, berkata, kejadian banjir telah melanda kawasan tersebut sebanyak enam kali dari Oktober hingga Disember tahun lalu.

"Tanah runtuh kerap berlaku di cerun setinggi tiga meter di Jalan Pinggiran 3/4, berhampiran Jalan Pinggiran 3/3, setiap kali musim hujan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu jengkaut maut kena hempap kren angkut mesin kuari di India

BACA LAGI: [VIDEO] Penunggang maut tercampak dirempuh kereta dipandu warga Pakistan di Serendah

"Pada masa sama, pokok dan tanah yang dibawa turun oleh tanah runtuh telah merosakkan dinding longkang monsun sehingga runtuh.

"Serpihan tanah dan tumbuhan menyumbat longkang sehingga menyebabkan air melimpah kembali ke longkang perimeter di luar rumah penduduk," katanya.

Tambah Doraisamy lagi, kali terakhir kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 3 Oktober lalu, namun cerun itu masih belum diperbaiki hingga kini.

3028404

Kejadian banjir telah melanda Jalan Pinggiran 3/4, Taman Pinggiran Batu Caves sebanyak enam kali dari Oktober hingga Disember tahun lalu. — Gambar Hiasan

Hasil tinjauan StarMetro pada 2 Januari mendapati air di dalam longkang monsun bertakung akibat mendapan, manakala dinding longkang berada dalam keadaan yang sangat uzur.

Menurut Doraisamy, sebanyak 13 buah rumah di sepanjang Jalan Pinggiran 3/3 dibina kira-kira 0.6 meter lebih rendah berbanding longkang monsun dan jalan raya, menjadikan rumah-rumah tersebut lebih terdedah kepada banjir.

"Ini adalah masalah struktur yang berpunca daripada pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pemaju," katanya lagi.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana masalah tersebut masih belum diselesaikan meskipun aduan telah dikemukakan kepada MPS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta pusat khidmat Parlimen Gombak.

"MPS ada membuat lawatan ke lokasi pada Disember lalu, namun tiada sebarang tindakan susulan. Malah, saya diminta merujuk masalah ini kepada JPS.

"Bagaimanapun, JPS memaklumkan bahawa bajet mereka untuk tahun lalu sudah habis digunakan. Mereka hanya boleh mengambil tindakan selepas menerima bajet baru sekitar pertengahan Januari tahun ini," jelasnya.

Sehubungan itu juga, Doraisamy menggesa pihak berkuasa untuk segera membersihkan longkang monsun bagi mengurangkan risiko banjir.

Sementara itu, aktivis komuniti, Yee Poh Ping, yang turut hadir semasa tinjauan itu, meminta pihak berkuasa lebih bertanggungjawab dalam menjaga kesejahteraan penduduk.

"Penduduk di kawasan ini sudah lama menderita akibat banjir, namun tiada kesungguhan daripada pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Cerun dan longkang monsun dipenuhi tumbuh-tumbuhan, jelas menunjukkan ia tidak diselenggara dengan baik untuk jangka masa yang lama.

"Apabila longkang tersumbat dengan serpihan dan tanah, kapasiti aliran air berkurangan, sekali gus meningkatkan risiko banjir. Pihak berkuasa perlu berhenti menuding jari kepada agensi lain dan segera mencari penyelesaian,” tegasnya.

Sehingga kini, pihak MPS belum memberikan sebarang maklum balas terhadap isu tersebut. — The Star/LEW GUAN XI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram