[VIDEO] Atlet pelayaran Johor maut tak sempat elak Kenari tukar lorong, buat pusingan U mengejut di Bandar Penawar


  • Tular
  • Khamis, 02 Jan 2025

Tangkap layar video memaparkan kemalangan yang berlaku membabitkan seorang penunggang motosikal dan pemandu Kenari di Bandar Penawar, Johor pada Rabu.

SEORANG penunggang motosikal meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Dato Onn, Bandar Penawar, Johor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pukul 4.50 petang melibatkan motosikal Yamaha Y15ZR dan kereta jenis Perodua Kenari putih.

Mangsa yang merupakan Atlet Pelayaran Johor, Nur Hazurah Md Hazahar, 21, maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta yang membuat pusingan U di lokasi kejadian.

BACA LAGI: Perlu berdikari untuk persiapan masa depan, aktiviti larian bantu kanak-kanak autisme bina keyakinan diri

BACA LAGI: Pesawat berpatah balik lepas lebih 3 jam di udara, exco Johor kongsi penerbangan mendebarkan

Yusof berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu yang merupakan lelaki tempatan berusia 51 tahun datang dari arah Bandar Penawar menukar haluan dari kiri ke kanan ketika membuat pusingan U.

Katanya, motosikal yang ditunggang mangsa, seorang wanita berusia 21 tahun tiba-tiba datang dari arah belakang dan tidak sempat mengelak.

"Motosikal tersebut melanggar bahagian sisi kanan Perodua Kenari tersebut.

"Akibat kemalangan tersebut wanita tersebut cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Kenari tidak cedera," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

472468501_18070106440733836_5301677939108658527_n

Nur Hazurah meninggal di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Beliau berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun selain denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu sehingga lima tahun.

Untuk rekod, Nur Hazurah pernah menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) mewakili Johor pada tahun 2022 dan 2024 dalam sukan Pelayaran.

Orang ramai pada masa sama dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang dan peraturan bagi keselamatan di jalan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram