TAHUN 2016 merupakan detik hitam buat seorang penggiat dan guru seni tarian tradisional masyarakat India, M. Saravanan apabila terlibat dalam kemalangan sehingga kehilangan kaki kirinya.
Meskipun melihat dunia yang seolah-olah sudah kiamat ketika itu, seni itu kekal menjadi cinta sejatinya selama lebih 35 tahun.
"Apa maknanya penari tanpa kaki? Dua bulan pertama selepas kemalangan itu memang menyeksakan bagi saya.
"Tetapi, kerana sistem sokongan kuat daripada isteri, adik-beradik, rakan-rakan dan pelajar yang sentiasa berdiri di belakang, fizikal dan emosi saya kembali pulih," luahnya.
BACA LAGI: Tiada elemen negatif, pengurus perpustakaan MBPJ pentingkan integriti pilih buku untuk pembaca
BACA LAGI: Inisiatif tabung infak makanan PIBG sekolah elak calon SPM berlapar jawab peperiksaan
Sudha Chandran juga mempunyai keadaan sama seperti Saravanan. — Agensi
Lelaki berusia 51 tahun, pengasas gendang rakyat dan kumpulan tarian Om Muruga Urummi dan Karagattam Johor Bahru, Johor bagaimanapun bersyukur kerana masih dikurniakan kudrat untuk berjuang melawan kemurungan yang menyelubunginya sekian lama.
Saravanan yang juga dikenali sebagai Master Sam berkata, kemurungan itu menghantuinya sejak bulan pertama berada di hospital selepas kemalangan.
"Saya berada dalam kegelapan. Pelawat yang datang sering mengatakan bahawa semuanya akan baik-baik sahaja, tetapi kata-kata itu hanya membuat saya berasa lebih teruk.
"Saya tertanya-tanya, adakah mereka berkata begitu hanya untuk menyedapkan hati saya kerana masa depan saya tidak akan baik?" katanya.
Selepas pulang dari hospital, Saravanan mula mencari inspirasi daripada kisah kejayaan penari kurang upaya.
Antara figura yang menjadi sumber kekuatan kepadanya ialah Sudha Chandran, seorang penari tarian Bharatanatyam terkemuka India yang kehilangan kakinya dalam kemalangan ketika berusia 16 tahun.
Sudha juga terkenal dalam industri perfileman India walaupun terpaksa menggunakan kaki palsu.
Mula bangkit dari kegelapan, Saravanan kini merupakan guru tarian yang sentiasa mendapat dorongan daripada para pelajarnya.
Tarian Karagattam yang memerlukan keseimbangan tinggi dalam kalangan penari. — Gambar hiasan/Agensi
Dia juga mula membantu pelajarnya untuk membuat persembahan rombongan di kuil, majlis perkahwinan serta acara pertunjukan kebudayaan.
"Peristiwa itu memberi keyakinan kepada dan kembali membuatkan saya mula untuk mengajar semula.
"Saya juga melakukan tarian Karagattam sambil duduk di atas kerusi roda jika ada permintaan," jelasnya.
Karagattam yang berasal dari Tamil Nadu, India Selatan merupakan tarian rakyat di mana penari perlu menyeimbangkan pasu di atas kepala sambil menari.
Saravanan berkata, dia kini juga menguruskan aktiviti tarian dan kumpulan muziknya sepenuh masa.
"Kepada mereka yang menjadi orang kelainan upaya (OKU) akibat kemalangan, lawan kegelapan dan kembali mencari sinar.
"Sentiasa ada harapan buat kalian. Jangan sesekali berputus asa," nasihatnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram