
PENYASARAN semula subsidi RON95 akan dilaksanakan menerusi dua peringkat iaitu front-end melibatkan operasi di stesen minyak, manakala back-end merangkumi penentuan kelayakan individu yang berada dalam golongan B85 (85 peratus layak mendapat subsidi).
Memetik laporan Buletin TV3, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, urusan back-end akan diuruskan kementerian tersebut.
Ujarnya, satu Mesyuarat Jemaah Menteri diangkat ke Kabinet untuk mendapat kelulusan sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dapat direalisasikan.
BACA LAGI: Katanya warga Singapura buat hal lagi, siap tukar nombor plat Malaysia sebelum isi minyak RON95
BACA LAGI: Kerajaan perhalusi kaedah harga 2 peringkat subsidi petrol RON95 — Rafizi
“Kalau ikut perbincangan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 melibatkan dua peringkat.
"Penentuan kelayakan akan diuruskan Kementerian Ekonomi. Kita akan angkat ke Kabinet untuk mendapat kelulusan,” katanya pada sesi interaksi bersama warga Kementerian Ekonomi bersempena perhimpunan bulanan kementerian itu, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kertas Mesyuarat Jemaah Menteri itu turut meliputi cadangan membuka semula Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang akan diputuskan Kabinet dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Menurutnya, Kementerian Ekonomi dijangka mengangkat kertas cadangan Mesyuarat Jemaah Menteri ke Kabinet untuk mendapat kelulusan pada Januari ini.
"Ia turut merangkumi peralihan pengkelasan daripada B40, M40 dan T20 kepada pendekatan pendapatan boleh guna bersih dan sudah tentu pengoperasian itu akan membabitkan Padu.
“Keputusan lain seperti membuka semula Padu dan sebagainya akan diputuskan di peringkat Kabinet dalam beberapa minggu akan datang. Daripada itu, bermulalah pengoperasian PADU dalam use case yang pertama iaitu penyasaran semula subsidi,” katanya.
Pada November lalu, Rafizi memaklumkan, fasa kedua pendaftaran Padu hanya akan diumumkan secara terperinci selepas mendapat kelulusan Kabinet.
Beliau dalam pada itu turut menjelaskan bahawa Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang memperhalusi beberapa perkara termasuk kriteria kelayakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram