[VIDEO] Baru nak 'sweet', pasangan kalut disergah polis ketika tiup lilin kek ulang tahun perkahwinan


  • Tular
  • Rabu, 01 Jan 2025

Tangkap layar pasangan suami isteri menyambut ulang tahun perkahwinan yang menjadi tular di media sosial.

ULANG tahun perkahwinan sering dianggap sebagai momen istimewa untuk meraikan ikatan kasih sayang antara pasangan.

Namun, cara setiap pasangan menyambut detik bermakna ini berbeza-beza, mencerminkan keunikan hubungan mereka.

Bagi sesetengah pasangan, sambutan ulang tahun menjadi peluang untuk mengimbau kembali kenangan manis bersama, termasuk detik pertemuan pertama dan perjalanan hidup berdua.

Ada yang memilih makan malam romantik di restoran mewah, menjadikan suasana penuh istimewa dan kasih sayang.

Bagi seorang pengguna TikTok, @miedaa.0, sambutan ulang tahun bersama suaminya yang diraikan pada Selasa akan menjadi momen lucu yang tidak akan dapat dilupakan.

Manakan tidak, melalui perkongsian video itu menunjukkan kedua-dua pasangan itu memilih pendekatan sederhana hanya menyambut ulang tahun mereka di dalam sebuah kereta.

Melalui video yang dikongsikan, kedua-dua mereka dilihat cuba meniup sebatang lilin yang diletakkan di atas sepotong kek.

Namun momen romantik itu terganggu selepas aksi mereka disergah seorang lelaki dipercayai anggota polis yang membuat rondaan di sekitar kawasan kejadian.

Reaksi panik wanita dan isterinya itu mencuit hati warga maya yang melihat video yang dikongsikan itu.

Kedua-dua mereka juga kelihatan tersipu-sipu malu selepas ditegur dan lelaki berkenaan sempat menjelaskan mereka sedang menyambut ulang tahun dan meletakkan kenderaan di tempat tersebut kerana mahukan pencahayaan bagi mengambil video.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya menitipkan doa buat pasangan tersebut.

Malah, melalui perkongsian wanita itu juga membuktikan, tidak kira bagaimana ia diraikan, setiap pasangan mempunyai cara tersendiri untuk memberi makna pada ulang tahun perkahwinan.

Yang penting, detik itu dirayakan dengan penuh kasih sayang, kejujuran, dan rasa syukur atas kebersamaan yang telah dilalui. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram