Seni digital Soefara Jafney, suntik semangat pahlawan wanita Melayu ke dunia moden


  • Hobi
  • Ahad, 29 Dis 2024

Sofefera terinspirasi daripada kisah Cik Siti Wan Kembang untuk menghasilkan karya digital.

KARYA digital Cik Siti Wan Kembang mencuri perhatian ramai dengan gabungan unik antara kisah legenda tempatan dan gaya visual komik Amerika Syarikat.

Menggunakan sentuhan moden, ilustrator bebas dan pereka, Soefara Jafney memberi nafas baharu kepada pejuang wanita berasal Kelantan, Cik Siti Wan Kembang yang terkenal dengan sifat kepimpinan dan penyayangnya terhadap kijang peliharaan.

"Saya memasukkan kijang ke dalam ilustrasi ini sebagai penghormatan. Hingga kini, lambang negeri Kelantan turut memaparkan sepasang kijang sebagai simbolik kepada warisannya," tambah Soefara.

BACA LAGI: Sokongan ibu jadi dorongan, muzik buat anak austime menyerlah hingga dipilih 'terbang' ke India

BACA LAGI: Cuma guna tulang ayam, artis muda Malaysia bijak hasilkan pameran seakan-akan tapak arkeologi di ibu negara

6296401200031056453

Ilustrasi Soefara tentang Mumtaz Mahal, seorang permaisuri Empayar Mughal dari 1628 hingga 1631 sebagai permaisuri utama maharaja Mughal kelima, Shah Jahan

Soefara juga tampil sebagai salah seorang panel From Malaysia To International Arena di Asia Pop Culture Convention (AsiaPopCon) 2024 pada 28 dan 29 September lepas di Kuala Lumpur.

Dalam panel tersebut, beliau berkongsi pengalaman bekerjasama dengan artis-artis hebat dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Thailand, Kanada dan Rusia.

Beliau juga menekankan bahawa dunia kreatif Malaysia sedang berkembang pesat dan turut berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan pelukis berasal dari Pulau Pinang, James Tce yang berjaya di peringkat antarabangsa.

Soefara beranggapan bahawa Malaysia sudah berada di persada antarabangsa dan hanya memerlukan lebih banyak peluang serta bimbingan untuk terus maju.

Selain itu, beliau juga akan membuka kedai di AsiaPopCon dengan menawarkan cetakan terhad dan barangan merchandise eksklusif.

Sebagai bekas pengarah seni, Soefara mempunyai portfolio yang mengagumkan termasuk kolaborasi dengan jenama fesyen tempatan, ilustrasi untuk buku kanak-kanak dan potret wanita-wanita ikonik seperti Dewi Artemis dan Cleopatra.

Tahun lepas, beliau turut terlibat dalam menghasilkan ilustrasi untuk buku The Power of Michelle Yeoh: Ballet, Stunts, Stardom!, hasil tulisan penulis Singapura, David Seow.

6296401200031056452

Ilustrasi Soefara tentang Cik Siti Wan Kembang yang membawa artis itu meneroka cerita tradisional dan wira wanita di Malaysia.

Namun, Cik Siti Wan Kembang adalah antara projek yang paling memberi kesan yang mendalam buat Soefara.

Legenda tokoh itu, yang memerintah sebuah wilayah di pantai timur Semenanjung Malaysia pada abad ke-16 dan ke-17 telah menggerakkan minatnya terhadap cerita rakyat tempatan.

Sebagai usaha memperkenalkan tokoh itu kepada lebih ramai orang, beliau turut menyertai pameran Can She Do It? di Kuala Lumpur yang dibuat bersempena Hari Wanita Sedunia.

Ia juga menandakan peralihan beliau dari dunia komik ke dunia seni ilustrasi yang lebih luas.

Pameran itu memberi peluang kepada pengunjung untuk mendalami cerita rakyat Cik Siti Wan Kembang dan mengaitkannya dengan tokoh-tokoh sejarah lain seperti Raja Hijau dan Hang Tuah.

Ilustrasi beliau turut mendapat perhatian apabila carian Cik Siti Wan Kembang di Google memaparkan karya Soefara sebagai gambar utama.

6296401200031056454

Salah satu ilustrasi Soefara untuk 'dUCk' sebagai sebahagian daripada filem 'Dark Phoenix' pada 2019, memberi penghormatan kepada siri 'X-Men'.

Mengenai penggunaan watak cerita rakyat, Soefara berkata, adaptasi dilihat sangat penting untuk menjadikan cerita-cerita itu lebih dekat dengan masyarakat.

“Menggambarkan mereka seperti wira dalam komik menjadikan cerita mereka lebih mudah diakses,” katanya.

Di Comic-Con Singapura, Soefara turut mendapat perhatian daripada ekspatriat yang tidak mengenali Cik Siti Wan Kembang tetapi tertarik dengan warna dan gaya rekaan yang dihasilkan.

Soefara menganggap pengalaman sewaktu kecil banyak memberi inspirasi kepada perjalanan seninya.

"Saya sering membaca majalah fesyen ibu, menonton kartun seperti X-Men dan Jem And The Holograms serta terlibat dalam dunia seni digital apabila perisian seperti Adobe Photoshop dan Illustrator mula diperkenalkan," katanya.

Ilustrasi-ilustrasi Soefara yang dipaparkan di media sosial dan dalam rekaan tudungnya memberi pandangan baru tentang wanita moden.

Salah satu karya terkenal beliau menggambarkan tiga kanak-kanak sedang menonton X-Men.

Mereka dikelilingi mainan dan alat permainan, mencipta suasana nostalgia yang mengingatkan kita kepada zaman kanak-kanak yang penuh imaginasi.

“Saya mungkin tidak tahu apa yang ditonton oleh generasi muda sekarang tetapi saya rasa mereka berminat dengan watak-watak saya dan itu sangat menginspirasikan,” ujar Soefara yang melihat seni sebagai medium untuk berhubung dengan semua generasi. — The Star/ M. IRSYAD

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram