Dari Bali ke Uganda, pelancongan kampung saji keindahan alam, budaya seni tempatan


  • Hobi
  • Sabtu, 28 Dis 2024

Jatiluwih di Indonesia sedang dibangunkan menjadi Muzium Hidup Warisan Budaya untuk orang Subak.

MELALUI inisiatif Perkampungan Pelancongan Terbaik Dunia yang diperkenalkan pada tahun 2021, Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) telah mengiktiraf 254 kampung sebagai destinasi pelancongan desa terbaik di seluruh dunia.

Dalam senarai terbaru yang diumumkan pada bulan lalu, sebanyak 55 kampung telah diiktiraf semasa edisi keempat inisiatif berkenaan.

Setiausaha Agung UNWTO, Zurab Pololikashvili berkata, inisiatif Perkampungan Pelancongan Terbaik Dunia bukan sahaja mengiktiraf pencapaian luar biasa kampung-kampung itu tetapi turut menyerlahkan kuasa transformasi pelancongan.

BACA LAGI: Seni tradisional buka pintu rezeki, suri rumah di Klang bijak manfaat Instagram demi ubah kehidupan keluarga

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berlarilah dengan senyuman', sakit kanser tahap 4 tidak halang Cikgu E sertai maraton, syukur miliki anak isteri penguat semangat

photo_6291608785327866573_y

Bo Suak, Thailand terkenal dengan tembikar dan tanur purba.

"Dengan memanfaatkan aset unik yang dimiliki, komuniti kampung tersebut dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi, mempromosikan tradisi tempatan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk mereka," katanya.

Malaysia hanya memiliki satu kampung yang diiktiraf sejak 2021 iaitu Kampung Batu Puteh di Kinabatangan, Sabah.

Namun, tiga negara Asia Tenggara lain iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam menyenaraikan kampung mereka dalam pengiktirafan tahun ini.

China mencatat jumlah kampung terbanyak diiktiraf pada tahun ini dengan tujuh destinasi, diikuti Peru (lima), Argentina (empat), serta Ecuador dan Mexico (tiga).

Sebanyak 22 negara lain mempunyai satu atau dua kampung yang menerima pengiktirafan.

Berikut adalah beberapa destinasi yang menerima pengiktirafan Best Tourism Villages pada 2024:

Bo Suak, Thailand

Terletak di wilayah Nan, utara Thailand, kampung itu terkenal dengan warisan budaya yang berpaksikan seni tembikar.

Salah satu tarikan utama ialah tapak relau dan tembikar purba yang berasal dari abad ke-15, ketika pemerintahan Phraya Phonlathep Ruechai.

Penemuan relau purba termasuk yang berusia 750 tahun telah menghidupkan semula seni warisan penduduk tempatan.

Selain terkenal dengan tembikar bermotif unik, penduduk Bo Suak juga mahir menenun termasuk kraf tangan tenunan buluh yang digunakan untuk tujuan keagamaan.

Pelawat boleh mengenali sejarah kampung itu dengan melawat Muzium Huan Bansuak Saen-Chuen, yang mempamerkan artifak daripada kuil tempatan serta peninggalan tapak relau.

Festival Kong Dee Bo Suak yang diadakan setiap tahun juga memberi peluang kepada pelancong untuk memahami budaya tempatan.

photo_6291608785327866568_x

Jatiluwih di Indonesia sedang dibangunkan menjadi Muzium Hidup Warisan Budaya untuk orang Subak.

Jatiluwih, Indonesia

Terletak di Bali, kampung Jatiluwih terkenal dengan keindahan teres sawahnya yang bertingkat-tingkat.

Berkedudukan 685 meter dari paras laut di lereng Gunung Batukaru, Jatiluwih turut disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012 kerana sistem pengairannya yang dikenali sebagai subak.

Sistem subak yang diasaskan pada falsafah Tri Hita Karana dikatakan bermula sejak abad ke-11.

Kampung itu kini dibangunkan sebagai Muzium Hidup Warisan Budaya bagi membolehkan pelawat memahami budaya subak melalui pengalaman interaktif.

photo_6291608785327866557_y

Taoping, China menampilkan sebuah istana yang kini menjadi muzium hidup yang mempamerkan warisan Qiang.

Taoping, China

Perkampungan bersejarah yang berusia lebih 2,000 tahun, Taoping terletak di Wilayah Lixian kira-kira 140 kilometer (km) dari bandar Chengdu.

Kampung itu terkenal dengan keunikan Taoping Qiang Castle iaitu kompleks menara tinjau Qiang purba yang paling terpelihara di dunia.

Pelancong boleh menikmati keindahan seni bina purba sambil mendalami budaya Qiang, salah satu kumpulan etnik tertua di China.

photo_6291608785327866562_y (1)

Ormana, Turki menawarkan pandangan sejarah melalui runtuhannya yang menarik.

Ormana, Turki

Kampung Ormana di Turki menawarkan pengalaman menarik melalui penginapan di button houses, bangunan unik yang dibina sepenuhnya menggunakan kayu dan batu untuk menahan gegaran gempa bumi.

Dikelilingi oleh keindahan semula jadi kaki Gunung Taurus, Ormana menumpukan kepada pelancongan ekologi dengan tarikan seperti Dark Sky Park dan tapak sejarah seperti Bandar Purba Erymna.

Festival Anggur Tradisional yang diadakan setiap September juga menyerlahkan warisan pertanian kampung ini.

photo_6291608785327866559_y

Ruboni, Uganda telah mula menerima teknologi dalam penawaran pelancongannya.

Ruboni, Uganda

Kampung Ruboni di Uganda terletak berhampiran Taman Negara Pergunungan Rwenzori dan menawarkan pelbagai aktiviti pelancongan seperti anyaman bakul, memasak tradisional dan pendakian ke Air Terjun Mappata.

Kampung ini juga telah membangunkan kemudahan pelancongan termasuk homestay, hotel dan tapak perkhemahan.

Sistem teknologi juga dinaik taraf seperti sistem pembayaran kad kredit kolektif bagi memudahkan pelawat.

El Valle de Anton, Panama

Dikenali sebagai tempat kelahiran katak emas Panama, El Valle de Anton turut menempatkan Pusat Pemuliharaan Amfibia yang memaparkan pelbagai spesies tempatan.

Kampung ini juga menawarkan pengalaman ekopelancongan dan pengembaraan seperti Ciclovia iaitu laluan basikal sejauh 2.2 kilometer (km) dan Ruta de La Caldera sepanjang 30km.

Festival Katak Emas yang berlangsung setiap Ogos menambah daya tarikan kepada pelancong yang ingin menikmati suasana meriah kampung ini. — The Star/FLOREY D. MIKIL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram