
SEORANG wanita warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di sebuah hotel bajet di Taman Mawar dekat Puchong, Selangor pada Selasa.
Difahamkan, mayat mangsa dipercayai ditemui oleh pihak hotel yang kemudiannya membuat laporan kepada pihak polis kira-kira 9 malam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, penemuan mayat wanita terbabit dimaklumkan oleh pihak hotel berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara
BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan kejadian di Sandakan, mayat wanita terkulai kena terkam buaya rupanya di Indonesia
"Siasatan awal mendapati mayat mangsa ditemukan pekerja hotel kira-kira pukul 9 malam sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
"Susulan itu, polis menahan dua lelaki warga asing kerana disyaki terbabit dalam kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau lagi, mangsa yang juga dipercayai warga asing berusia lingkungan 30-an ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dalam sebuah bilik hotel terbabit.
"Hasil siasatan, polis menahan dua lelaki warga asing, kedua-duanya berusia 39 tahun di Bukit Puchong, pukul 3 pagi Rabu.
"Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif pembunuhan serta hubungan mangsa dengan kedua-dua suspek.
"Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari hingga 6 Januari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Anbalagan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Dalam pada itu, Anbalagan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan polis.
Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Siti Zamarah Jamaludin di talian 03-80742222. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram