KPT takkan kompromi, pensyarah UM didakwa hantar gambar tidak senonoh kepada beberapa pelajar


  • Primer
  • Sabtu, 21 Dis 2024

KPT menjelaskan bahawa siasatan rasmi sedang dijalankan oleh Unit Integriti UM sejak aduan diterima.

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) menegaskan sebarang kes salah laku dan pelanggaran prosedur di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) diambil dengan serius serta tindakan akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, kementerian itu berkata, dakwaan gangguan seksual yang melibatkan seorang profesor di Universiti Malaya (UM) sedang ditangani.

BACA LAGI: Tiada laporan polis dibuat, kucing mati di UM dipercayai diserang haiwan liar — Polis Brickfields

BACA LAGI: Bukan setakat pereka fesyen, pensyarah pertahan kredibiliti Rizalman Ibrahim dilantik Profesor Adjung Universiti Malaya

“Pihak universiti tidak mengambil mudah laporan sebegitu dan kami dimaklumkan isu ini telah ditangani secara rasmi. Unit integriti universiti sedang giat menjalankan siasatan.

“Semua prosedur dan peraturan berkaitan sedang dipatuhi sepenuhnya dan pihak universiti mempunyai garis panduan dan peraturan khusus berhubung isu gangguan seksual.

"Langkah-langkah yang sesuai sedang diambil untuk melindungi hak semua pihak," kata kenyataan berkenaan.

Kementerian itu menjelaskan bahawa individu terbabit sudah membuat laporan polis dan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan.

Kenyataan tersebut juga menjelaskan bahawa tidak akan ada kompromi jika mana-mana pihak didapati bersalah melanggar undang-undang dan tindakan tatatertib yang ketat akan diambil.

Pada Rabu lepas, Universiti Malaya mengesahkan sedang menyiasat kes melibatkan seorang ahli akademik yang didakwa menghantar gambar tidak senonoh kepada beberapa pelajar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram