Daripada dunia arkitek ke kopi: Happi Koffie kini hasilkan minuman kopi cecah 30,000 cawan sebulan


  • Bizz
  • Rabu, 01 Jan 2025

Sufina memulakan perniagaan menjual mesin kopi sejak 2010 selepas mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia seni bina.

SELAMA kira-kira lebih 10 tahun, Sufina Hisham berkecimpung dalam bidang seni bina selepas pulang dari United Kingdom pada 1998.

Dalam tempoh tersebut, graduan Ijazah Seni Bina dari Universiti Nottingham itu menabur bakti dalam industri tersebut bersama dua syarikat gergasi iaitu Petronas Dagangan dan Gapurna Sdn Bhd (Gapurna).

Bersama Petronas Dagangan, Sufina yang kini berusia 50 tahun, berasal dari Negeri Sembilan menggalas tanggungjawab selaku arkitek membina rekaan stesen syarikat itu di seluruh negara.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Sementara itu, waktunya bersama Gapurna pula menyaksikan beliau diberikan peranan selaku pengurus besar.

Lebih membanggakan, antara projek mendapat air tangannya sebagai arkitek muda adalah selepas diberi peluang menerajui pembangunan seni bina bangunan ikonik, Menara Shell di Kuala Lumpur yang turut melibatkan Serina Hijjas iaitu anak arkitek terkemuka Hijjas Kasturi.

Bagaimanapun, ketika mencapai umur 35 tahun, dia mengambil keputusan untuk beralih bidang dengan menjadi usahawan kopi melalui penyediaan mesin minuman berkenaan.

WhatsApp Image 2025-01-01 at 1.40.30 PM

Pekerja sedang menyelenggara mesin kopi di bawah Happi Koffie.

Cari perusahaan boleh dilakukan bersama suami

Selain kecintaannya terhadap kopi, Sufina berkata, beliau ketika itu sememangnya sedang mencari sesuatu perusahaan boleh dilakukan bersama suaminya, Mohammad Fadzlan Abdul Samad, 70, yang turut membuat keputusan berhenti daripada bekerja bersama Petronas.

"Jadi kita putuskan buat sesuatu yang kita boleh buat kerja sama-sama. Dari situ kita pilih untuk buat mesin kopi pada 2010," katanya yang juga Pengarah Urusan Happi Koffie.

Menurut Sufina, dengan mengambil kira segmen perniagaan kopi yang cukup meluas, dia dan suami mengambil keputusan memberikan tumpuan terhadap teknologi kopi.

Ujarnya, mesin kopi yang menggunakan teknologi espresso itu menggabungkan dua komponen penting iaitu 'grinder' dan 'mixer' dengan ia cukup sesuai untuk digunakan khususnya di ruang pejabat.

Sufina berkata, mereka bermula dengan membeli sebanyak 20 buah mesin kopi terpakai dari luar negara.

"Sebab kita beli mesin kopi terpakai, jadi keadaan itu menyebabkan kita perlu belajar bagaimana untuk mengendalikan dan menyelenggara mesin tersebut.

"Ini termasuk bagaimana antaranya cara nak cari alat ganti dan jenis alat bancuhan kopi.

"Jadi kita memang kena banyak belajar banyak ilmu untuk mahir waktu awal itu," kongsinya.

Happi Koffie kini sudah menyediakan kira-kira 100 mesin kopi di seluruh negara.

Happi Koffie kini sudah menyediakan kira-kira 100 mesin kopi di seluruh negara.

Dalam pada itu, Sufina yang juga ibu kepada empat orang anak mengakui latar belakang kemahiran seni binanya sedikit sebanyak turut membantunya dalam menguasai perniagaan baharu diceburinya.

"Apabila belajar seni bina, kita turut diberikan latihan yang banyak dalam kemahiran lukisan teknikal.

"Jadi untuk faham mesin ini tidak begitu sukar sebab dalam kemahiran lukisan teknikal itu sendiri kita dah terdedah.

"Jadi daripada situ juga kita belajar dan banyak buat kajian mengenai tekonologi mesin digunakan," ujarnya yang turut mengembara ke Dubai untuk mempelajari lebih mendalam mengenai mesin digunakan.

Menurutnya, untuk pelanggan pertama, mereka mendapat kontrak penyediaan mesin kopi daripada syarikat yang disifatkan agak besar iaitu Shell Asia Pacific dan di stesen minyak Petronas.

Bagaimanapun, beliau berkata, kejayaan itu memberikan cabaran yang tidak sedikit memandangkan tidak ada syarikat kopi lain ketika itu yang mampu menyediakan perkhidmatan tersebut.

"Waktu itu, kebanyakan penyedia mesin kopi adalah syarikat luar. Selama tujuh hingga lapan tahun awal memang tidak ada syarikat kecil dan sederhana yang mampu sediakan," katanya.

WhatsApp Image 2025-01-01 at 1.40.52 PM

Mesin kopi diedarkan Happi Koffie turut mempunyai variasi perisa yang pelbagai dan menjadi kegemaran orang ramai pada masa kini.

Bermula dengan 20 buah mesin kopi, Happi Koffie kini memiliki kira-kira 100 unit mesin yang beroperasi kebanyakannya di ruang pejabat di seluruh negara.

"Kita sekarang ada hampir l50 pelanggan dan mesin kami mampu mengeluarkan sebanyak 30,000 cawan kopi sebulan.

"Kemudian untuk minuman berasaskan coklat, kami mengeluarkan sebanyak kira-kira sehingga 16,000 cawan kopi sebulan," katanya.

Pada masa sama, Sufina berkata, sejak 2019, Happi Koffie kini turut menampilkan inovasi apabila berjaya memasukkan sistem pembayaran yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan termasuk mesin kopi dari Eropah.

Antara inovasi lain ditampilkan adalah menerusi pengenalan formulasi perisa baharu antaranya seperti vanilla, caramel, hazelnut, butterscotch, buttercream, macadamia panggang dan Spanish latte.

Bergerak ke hadapan, Sufina berkata, mereka kini sedang dalam proses menambah pelaburan modal sebanyak kira-kira setengah juta ringgit pada separuh kedua 2025.

"Tapi kami bercadang stabilkan dulu pelanggan yang kami ada dengan pastikan kualiti perkhidmatan terbaik," ujarnya yang kini beroperasi dengan tujuh pekerja terdiri daripada empat staf teknikal manakala selebihnya adalah pengurusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram