BOSAN dengan tekanan kehidupan di ibu kota, seorang pekerja teknologi maklumat (IT), Ahmad Syamim Suhaimi, mengambil keputusan berhijrah ke di Bidor, Perak bagi memulakan perniagaan makanan sepenuh masa.
Ahmad Syamim, 32, merupakan pengusaha gerai menjual makanan Timur Tengah, shawarma di pasar malam sekitar beberapa daerah di Perak sejak kira-kira hampir dua tahun lalu.
Pemuda yang merupakan anak jati Petaling Jaya, Selangor itu berkata, langkah untuk berpindah ke Bidor yang juga kampung isterinya itu dibuat selepas melihat potensi perniagaan yang wujud dan boleh belum diterokai di kawasan tersebut.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
"Sebabnya bila kita duduk di KL, kita memang tidak ada masa sebab hari-hari kerja. Jadi sebab itu saya berhenti dan berhijrah ke kampung isteri.
"Kemudian di kawasan kampung ini dia banyak potensi. Sebabnya apa yang ada dekat bandar, dekat sini masih belum ada lagi," katanya kepada Majoriti.
Ahmad Syamim juga melihat wujudnya peluang memandangkan masih tiada peniaga yang menjual shawarma dengan menggunakan jenama Qudrat by Halal Kitchen di daerah tersebut.
Ahmad Syamim yang juga bapa kepada dua orang anak itu berkata, selepas berpindah ke Bidor sekitar 2022, dia pada awalnya memilih untuk menjual makanan nasi kukus di pasar malam dan tepi jalan.
Bagaimanapun katanya, sambutan terhadap hidangan terbabit dilihat agak kurang baik selepas enam bulan beroperasi.
Ekoran daripada itu, dia kemudiannya membuat keputusan untuk mula menjual shawarma yang ketika itu tular dan mula popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ahmad Syamim juga melihat wujudnya peluang memandangkan masih tiada peniaga yang menjual shawarma dengan menggunakan jenama Qudrat by Halal Kitchen di daerah tersebut.
Eksperimen resipi
Bagaimanapun, untuk menjual hidangan tersebut, dia yang juga yang juga graduan Sains Komputer (Sistem dan Rangkaian) daripada Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) mengakui perlu bereksperimen terhadap resipi digunakan.
Ini kerana katanya, shawarma yang dijual perlu disesuaikan dengan cita rasa tempatan berbanding dengan resipi asal daripada Timur Tengah.
Ahmad Syamim meniaga dengan bergerak di sekitar Perak.
"Untuk shawarma saya memang cuba sendiri macam-macam resipi dengan tengok sendiri daripada internet.
"Lepas itu saya ubah sebab kalau macam orang Melayu dia mungkin tak akan suka resipi asli shawarma daripada Timur Tengah.
"Jadi untuk rempah itu kita macam bagi kuat sikit rasanya. Kemudian untuk pilihan sos pun kita bagi banyak pilihan," ujarnya yang berkhidmat selama kira-kira lima tahun dalam bidang IT.
Ahmad Syamim berkata, buat masa ini, dia bergerak menjual di pasar malam sekitar Perak setiap hari seminggu antaranya di Bidor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tapah dan Tanjong Malim.
Ujarnya, secara purata, jualan hariannya mencapai kira-kira 100 biji shawarma dengan nilai antara RM600 hingga RM800 sehari.
"Hasil jualan bagaimanapun bergantung kepada keadaan cuaca," katanya yang bergerak dengan seorang pekerja termasuk dua pembantu sambilan ketika membuka gerai di UiTM Tapah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram