BERMULA dengan hanya mengambil upah melipat baju dan membersihkan rumah sebagai pendapatan sambilan, seorang bekas jurutera teknologi maklumat (IT), Mohd Ariff Mohd Yunos tidak pernah menyangka akan berkecimpung dalam bidang pembersihan rumah serta syarikat dan pembersihan forensik.
Apatah lagi industri pembersihan forensik tersebut masih lagi dianggap tabu dalam kalangan sesetengah masyarakat dalam negara dan tidak ramai yang ingin melibatkan diri dalam bidang tersebut.
Mohd Ariff yang juga Pengarah Urusan ArtClean Ventures Sdn Bhd (ArtClean) berkata, sebelum menceburi perniagaan tersebut, dia bekerja sebagai seorang jurutera IT sejak 11 tahun yang lalu.
"Saya suka kemas rumah, sejak kecil lagi sudah dilatih untuk kemas rumah dan lipat baju.
"Sampai satu masa itu, saya ada masalah kewangan dan memutuskan untuk ambil upah lipat baju kerana ada kemahiran tersebut.
"Kebetulan masa 2013 tiada orang buat bisnes lipat baju lagi, sampailah ada satu tahap ada pelanggan yang minta untuk bersihkan rumah dia. Sejak itu, saya mula kembangkan perniagaan kepada kerja-kerja pembersihan rumah dan syarikat," katanya kepada Majoriti.
Pengarah Urusan ArtClean Ventures Sdn Bhd (ArtClean), Mohd Ariff Mohd Yunos.
Bercerita lanjut, Mohd Ariff memberitahu, dia mula mengembangkan perniagaan secara serius pada 2017 dan pada tahun sama, dirinya mendapat tawaran daripada salah seorang pelanggan untuk melakukan kerja pembersihan forensik.
Lelaki itu mengakui, dia sama sekali tidak menyangka kerjayanya akan pergi sejauh ini.
Ujar Mohd Ariff, semuanya bermula apabila terdapat seorang pelanggan yang meminta melakukan kerja pembersihan forensik selepas salah seorang ahli keluarganya meninggal dunia di Meru, Klang, Selangor.
"Mayat tersebut hanya ditemui selepas beberapa hari sehingga menyebabkan bau busuk yang sangat kuat memenuhi ruang rumah dan saya terima tawaran untuk membersihkan rumah tersebut.
"Disebabkan pengalaman dalam mencuci teknikal (deep cleaning), kami ada kepakaran penggunaan bahan kimia yang sesuai untuk membersihkan kesan pereputan mayat (body decomposition).
"Kaedah perlu digunakan adalah mengikut prosedur pengurusan sisa biohazard. Ia memerlukan teknik dan penggunaan bahan kimia khas selain peralatan khusus dikendalikan individu memiliki kepakaran atau kemahiran.
"Bermula dari pengalaman tersebut, kami memperluaskan perkhidmatan kepada pembersihan forensik," katanya.
Setiap kakitangan ArtClean mempunyai pengalaman 'deep cleaning', dan kepakaran penggunaan bahan kimia sesuai untuk membersihkan kesan pereputan mayat.
Jelas bapa kepada seorang anak itu lagi, ia bukanlah tugas mudah dan setiap kes yang dikendalikan mempunyai cabarannya yang tersendiri.
Ujarnya, keyakinan sahaja tidak cukup, sebaliknya mental yang kuat juga perlu ada.
"Ramai yang datang kepada saya dan kata boleh buat tetapi apabila kita tiba di tempat kejadian nampaklah mental mereka terganggu.
"Ramai yang datang dan pergi. Melakukan tugas mencuci atau bertugas sebagai pembersih forensik bukanlah tugas mudah.
"Setiap kes itu berbeza, memanglah kita tak jumpa mayat tetapi bau dan keadaan rumah yang ditinggalkan itu sendiri kita boleh bayangkan saat-saat akhir si mati.
"Antara kes yang saya tak boleh lupa ketika melakukan tugas pembersihan di Petaling Jaya dua tahun yang lalu. Pada waktu itu kita dapat tawaran untuk melakukan kerja pembersihan tempat unattended death (kematian tanpa pengawasan) yang mana mayat si mati dijumpai 10 hari selepas meninggal dunia.
"Walaupun mayat itu telah diuruskan tetapi kami boleh bayangkan kehidupan si mati sebelum dia meninggal dunia dan kesan darah itu sendiri setebal dua inci di permukaan lantai," ujarnya.
Selain kematian mengejut dan bunuh, Mohd Ariff berkata, kes mencabar lain pernah dikendalikannya termasuk menguruskan lokasi mangsa maut akibat jatuh dari tingkat 50 bangunan.
Masalah hoarding disorder meningkat dalam golongan muda.
Selain menyediakan perkhidmatan pembersihan forensik, ArtClean juga menyediakan servis pembersihan bagi individu yang mengalami masalah hoarding disorder.
Lelaki berusi 39 tahun itu turut mendakwa masalah hoarding disorder semakin meningkat saban tahun terutamanya dalam kalangan golongan muda.
"Macam dulu kita nampak banyak warga emas yang ada masalah ini tetapi kini banyak melibatkan golongan muda yang berumur di antara 25 hingga 35 tahun tanpa mengira jantina.
"Pengumpul barang (hoarders) sebenarnya ada banyak kategori. Melalui pengalaman, kalau saya nampak dan lihat suasana di rumah seseorang, saya boleh tahu dia ada masalah hoarders atau tidak,” jelasnya.
Bercerita lanjut, Mohd Ariff berkongsi pengalaman pernah mengambil upah membersihkan rumah pelanggan berada dalam keadaan yang sangat kotor.
"Ada kes yang mana kami pernah membuang beberapa botol yang diisi dengan air kencing di dalam bilik yang penuh dengan barangan lain.
"Tetapi dalam situasi itu kita tidak boleh menilai 'mereka' dan harus faham hoarding disorder ini berkait rapat dengan masalah mental
"Kita bersihkan dan bantu apa yang perlu. Bagi saya, kes hoarding tahap sederhana, ia mungkin tidak terlalu memberi kesan secara langsung kepada individu tersebut.
"Namun jika pada tahap parah, ia akan mengganggu fungsi hidup seseorang," katanya lagi.
Masalah 'hoarding disorder' dilaporkan semakin meningkat saban tahun terutamanya pada golongan muda. — Gambar Hiasan
Pengalaman mistik ketika bekerja
Di sebalik cabaran fizikal dan mental, ada pula elemen mistik yang tidak dapat dielakkan.
Mohd Ariff mengakui, beberapa kali dia dan pasukannya berdepan dengan gangguan aneh dan seram ketika menjalankan tugas.
"Alah bisa tegal biasa. Gangguan mistik itu memang ada bila kami melakukan tugas-tugas pembersihan tetapi sejujurnya kami banyak menerima gangguan di rumah pelanggan yang mengalami masalah hoarding disorder.
"Ya lah rumah dah penuh dengan barang lama bertahun-tahun bercampur pula dengan barang-barang kotor sudah tentu ada 'benda' yang suka. Kadang-kadang kami nampak kelibat atau rasa ada yang memerhati.
"Kami cuba kekal profesional, tetapi ada saatnya bulu roma berdiri tegak. Tempat-tempat ini sering kali menyimpan cerita yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Jadi setiap kali sebelum kami memulakan tugas, kami akan berdoa terlebih dahulu," katanya.
Mohd Ariff mengakui, beberapa kali dia dan pasukannya berdepan dengan gangguan aneh dan seram ketika menjalankan tugas.
Kisah Mohd Ariff membuktikan bahawa keberanian, ketabahan mental dan empati adalah kunci kejayaan dalam menghadapi cabaran luar biasa. Dari seorang jurutera IT kepada pakar pembersihan forensik, dia telah mengubah persepsi tentang bidang yang sering dipandang serong oleh masyarakat.
Di sebalik tugas yang kelihatan teknikal, perkhidmatan pembersihan forensik menyentuh aspek kemanusiaan yang mendalam iaitu membantu keluarga yang berdepan tragedi dan menyelamatkan individu yang terjerat dalam masalah seperti hoarding disorder. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram