MAHKAMAH Majistret Kuching, Sarawak pada Selasa menetapkan 10 Februari depan untuk sebutan semula kes seorang pemandu e-hailing yang dituduh membunuh Nurul Asikin Lan pada 6 Disember lalu.
Menurut laporan Buletin TV3, Majistret, Sharifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Hung Hwei memaklumkan pihaknya menunggu laporan DNA dan bedah siasat mangsa yang mayatnya ditemui reput dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan, Kuching pada 15 Disember lalu.
Zakwan Mokhtar, 32, yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan.
BACA LAGI: [VIDEO] Keputusan DNA sahkan mayat reput Nurul Asikin, jenazah dikebumi pada Jumaat
Nurul Asikin tidak dapat dihubungi selepas keluar bersama suspek yang baharu sahaja dikenalinya pada 5 Disember lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, Zakwan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan atas pertuduhan membuat laporan palsu berhubung kehilangan Nurul Asikin.
Dia dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, dia didakwa membuat laporan palsu pada 6 Disember lalu selepas dia mengetahui satu hantaran Facebook tular mendakwa tertuduh melarikan seorang wanita bernama Nurul Asikin Lan.
Dia membuat laporan itu di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur sebagai penafian kerana bimbangkan keselamatan dirinya.
Jenazah Nurul Asikin selamat dikebumikan pada Khamis lalu. — X/Dayak Daily
Dalam laporan itu, tertuduh sebagai pemandu e-hailing mendakwa pada jam kira-kira jam 11 malam, 5 Disember, dia membawa keluar seorang wanita bernama Asikin di Perumahan Darul Hana, Jalan Tun Salahudin, Petra Jaya, Kuching.
Dia turut mendakwa, wanita itu berjumpa dengan seorang lelaki kawan lamanya yang pengadu tidak kenali di luar sebuah kelab malam dan selepas lama menunggu dia mendakwa meninggalkan Asikin bersama lelaki dan terus balik ke rumah.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati pada 5 Disember, tertuduh membawa keluar Nurul Asikin di kawasan perumahan Darul Hana dengan menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah dan pergi ke Unijaya, Kota Samarahan.
Hasil siasatan mendapati tertuduh membunuh Nurul Asikin pada 6 Disember 2024 antara jam 8 hingga 9 pagi dan kemudian dia menjual barang kemas milik mangsa di sebuah kedai emas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram