Mangsa ragut ketika beli surat khabar di Bangsar meninggal, polis akan teliti jika kes perlu disiasat di bawah 302KK


  • 112
  • Isnin, 30 Dis 2024

Mendiang Foong Mei yang menjadi mangsa ragut di Bangsar, Kuala Lumpur Oktober lalu meninggal dunia pada Isnin. — Facebook/Fahmi

MANGSA ragut seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Limau Manis, Bangsar pada Oktober lalu dilaporkan meninggal dunia pada Isnin.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil susulan itu menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mendiang Lim Foong Mei.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau sempat melawat Foong Mei yang berusia 78 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood selepas kejadian tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita warga emas cedera diragut ketika keluar beli surat khabar di Bangsar

BACA LAGI: Penjual apam balik di Taiping menyesal bakar motor tertunggak 20 bulan, dibenar ikat jamin RM4,000

2951755

Mangsa (bulatan kecil) cedera di kepala selepas diragut di tepi Jalan Limau Manis, Bangsar, Kuala Lumpur pada Oktober lalu.

"Takziah kepada keluarga dan orang tersayang Lim Foong Mei, mangsa ragut di Jalan Limau Manis, Bangsar, Oktober lalu.

"Semoga keluarganya tabah menghadapi masa sukar ini," tulisnya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan bahawa suspek sudah ditangkap dan dituduh di mahkamah.

Katanya, semakan lanjut berhubung punca kematian mangsa juga akan dilakukan sama ada berkaitan dengan kecederaan semasa kejadian ragut atau tidak.

"Cadangan akan dibuat bergantung kepada hasil semakan nanti," katanya ketika ditanya sekiranya kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 7 Oktober lalu, mangsa yang merupakan wanita warga emas cedera di kepala selepas diragut di sekitar rumahnya.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi, mangsa dilihat berjalan seorang diri sebelum dihampiri suspek yang menunggang motosikal secara tiba-tiba.

Kejadian itu turut berlaku ketika mangsa dalam perjalanan membeli surat khabar.

Ekoran daripada kejadian ragut itu, mangsa mengalami pendarahan di kepala dan dirawat di PPUM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram