PELAWAK, Along Cham mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki ganja seberat 58.23 gram di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor pada Jumaat.
Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.
Bekas peserta program realiti Raja Lawak yang diwakili peguam Mohd Fadly Hashim dari Tetuan Zamri Idrus itu didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.
BACA LAGI: Gara-gara kantoi miliki dadah, selebriti lelaki berusia 41 tahun kena reman 5 hari
BACA LAGI: 'Kalau boleh, saya nak dia betul-betul sayang anak saya' — Along Cham
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan dikenakan tidak kurang 10 sebatan.
Di kandang tertuduh, Along Cham memohon untuk diikat jamin namun ditolak oleh hakim.
"Saya merayu jaminan kerana ada anak mula bersekolah," katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Fuad tidak membenarkan jaminan berikutan peruntukkan undang-undang mengikut seksyen itu adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
"Dah cakap tak boleh jamin, law (undang-undang) kata tak boleh jamin, alasan anak sekolah ke apa, memang law kata tak boleh jamin.
"Kalau boleh jamin dan bergantung kepada mahkamah, boleh saya pertimbangkan untuk bagi jamin. Tapi undang-undang kata tak boleh jamin," katanya.
Ahmad Fuad juga mengarahkan laporan kimia tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan kes disebut semula pada 27 Januari depan.
Mengikut kertas pertuduhan, Along Cham disyaki memiliki dadah jenis ganja seberat 58.23 gram.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, Along didakwa memiliki ganja seberat 2.07 gram mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952
Along sekali lagi membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Muhamad Bukhori Ruslan. Tarikh perbicaraan ditetapkan 28 Februari tahun hadapan.
Media sebelum ini melaporkan, selebriti itu ditahan di sebuah rumah teres di Cyberjaya pada petang 14 Disember lalu bersama dadah disyaki ganja.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram