
MANGSA ketiga insiden lemas di pantai Kampung Bundusan, Papar, Sabah pada Khamis lalu ditemui selepas dua hari operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Mayat Karl Marx Vitalis, 48, yang dipercayai cuba untuk menyelamatkan anak saudaranya dalam kejadian tersebut hilang sebelum ditemukan pada pukul 12.02 tengah hari Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba, Rozlan Osman berkata, mangsa ditemukan pasukan bomba kira-kira 1.5 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
"Mangsa seterusnya dibawa ke tepi pantai dan disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Susulan daripada itu, operasi pencarian ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.32 tengah hari.
Dalam insiden kira-kira 5 petang Khamis lalu, Razq Aariz Julkarnain Abd Aziz, 14, dan Rubern Vitalis, 7, ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus ombak ketika mandi di pantai.
Karl Marx Vitalis yang cuba menyelamatkan anak saudaranya kemudiannya dilaporkan hilang
Seorang lagi mangsa iaitu Matthew Kana Vitalis, 12, berjaya diselamatkan penduduk kampung. — The Star/DURIE RAINER FONG
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram