Budak lelaki 7 tahun mati lemas di Parit lepas keluar bermain dengan kawan-kawan


  • 112
  • Selasa, 24 Dis 2024

Kanak-kanak itu difahamkan keluar bermain bersama rakan-rakan sebelum ditemui lemas.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan lemas dalam tali air di Parit, Perak Tengah pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pada kira-kira pukul 5.45 petang Isnin, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan kanak-kanak kira-kira 30 meter dari tebing tali air Parit 4.

Menurutnya, mangsa sebelumnya keluar untuk bermain bersama rakan-rakan.

BACA LAGI: Provokasi disyaki punca penuntut IPT lunyai dibelasah 3 pelajar lain di Seri Iskandar

BACA LAGI: Sahkan tiada aktiviti letupan kuari, Polis Perak siasat punca sebenar bunyi dentuman kuat di Ipoh

471508426_1149418110175162_3017190415868052213_n

Kenyataan media mengenai kes kematian kanak-kanak di Parit, Perak. Facebook/Polis Daerah Perak Tengah

"Penduduk sekitar bergegas membawa kanak-kanak itu ke Klinik Kesihatan Bota Kiri yang mana pembantu pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Seri Iskandar untuk dibedah siasat. Kerja-kerja bedah siasat dilakukan pada Selasa dan mendapati punca kematian adalah 'Pulmonary Edema Consistent With Drowning’ (lemas)," katanya.

Dalam kenyataan sama, Hafezul turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berhampiran tali air kerana musim monsun Timur Laut dijangka berterusan sehingga Mac 2025.

"Ibu bapa adalah dinasihatkan supaya sentiasa mengawasi anak-anak dari bermandi-manda di kawasan sungai dan tali air tanpa pengawasan kerana arus adalah deras," katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Pendidikan Daerah Perak Tengah turut meluahkan rasa simpati terhadap kes berkenaan sambil mengesahkan mangsa merupakan murid Darjah 1 di Sekolah Kebangsaan Pasir Gajah, Perak.

"Menurut sumber, arwah Ammar Hazif meninggal dunia pada petang Isnin akibat lemas. Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Seri Iskandar pada pagi Selasa. Info berkaitan solat jenazah akan dikemaskini kemudian," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram