MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan bahawa urusan pensijilan halal adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang perlu dihormati oleh semua pihak.
Ia selepas peraturan baharu ditetapkan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam untuk setiap premis makanan dan minuman di Kelantan.
Nga berkata, Kerajaan Persekutuan amat menggalakkan para pengusaha untuk memohon sijil halal tetapi tidak mewajibkannya.
BACA LAGI: Kelantan syaratkan sijil halal untuk perbaharui lesen niaga F&B
BACA LAGI: Jakim percepat tempoh permohonan sijil halal kepada 30 hari
Menurutnya, ia bagi meringankan beban beberapa peniaga kecil yang tidak mampu menampung kos bagi mendapatkan sijil halal.
"Sebagai contoh, seorang penjaja kecil yang menjual nasi lemak mungkin terbeban dengan kos mendapatkan dan memperbaharui sijil halal termasuk audit tahunan.
"Bagi usahawan bukan Islam, memaksa mereka memohon sijil halal adalah tidak praktikal dan tidak adil," katanya pada Jumaat.
Nga menegaskan bahawa pihak kerajaan tidak boleh memaksa mana-mana pengusaha makanan dan minuman untuk mendapatkan sijil halal.
"Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mesti menghormati Jakim dan mendapatkan nasihat mereka untuk mengelakkan sebarang percanggahan.
"Kuasa Jakim berasal daripada keputusan Kabinet sebagai badan 'dengan kuasa eksekutif tertinggi' juga harus dihormati," jelasnya.
Nga berkata sedemikian selepas menerima beberapa aduan daripada pengusaha premis makanan di Kelantan.
Tambahnya, pengadu ingin tahu peniaga bukan Islam yang menjual makanan tidak halal perlu atau tidak memohon sijil tersebut.
"Adakah kerajaan Kelantan memberitahu mereka untuk 'tutup kedai'? Itu akan menjadi tindakan yang kejam," katanya. — The Star/MANJIT KAUR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram