Beroperasi di tanah hutan simpan kekal, 40 nurseri di PJ diarah henti operasi menjelang 30 Disember


  • Massa
  • Khamis, 26 Dis 2024

Nurseri pokok (terletak di antara rumah kediaman) di sepanjang Persiaran Tropicana (sudut kanan atas) telah diarah mengosongkan tanah yang merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Sungai Buloh.

SEKITAR 40 pengusaha nurseri yang beroperasi di kawasan sekitar Persiaran Tropicana di Petaling Jaya, Selangor diarah mengosongkan premis masing-masing selewat-lewatnya 30 Disember ini.

Ini kerana, kawasan tersebut merupakan sebahagian daripada tempat bagi Hutan Simpan Sungai Buloh.

Pada 3 Disember lepas, pihak berkuasa Jabatan Perhutanan Selangor (JPNS) telah menyampaikan notis pengusiran bertarikh 27 November itu secara peribadi kepada pengusaha.

BACA LAGI: Tayar pancit di Laos, ekspedisi Himalaya antara 'ride' penuh mencabar pasangan sehati sejiwa bersama Kawasaki Vulcan

BACA LAGI: Travel ke Hong Kong? Jangan lupa kunjungi masjid dan restoran halal khas buat pelancong Muslim

Dikeluarkan di bawah Akta Perhutanan Negara 1985, notis itu mendakwa pengusaha tersebut menduduki tanah hutan simpan secara haram.

Pengusaha didakwa bertani, membina bangunan dan menjalankan aktiviti berkaitan penanaman di atas tanah hutan simpan kekal tanpa kebenaran.

Sebuah gereja Methodist dan kuil Hindu yang terletak berhampiran juga diberi notis yang sama untuk mengosongkan rumah ibadat berkenaan.

Bagaimanapun, pengusaha nurseri menjelaskan bahawa mereka telah mendapat kebenaran daripada JPNS sejak 2006 untuk menggunakan tanah itu tetapi tidak dapat memperbaharui permit tahunan mereka sejak 2021.

"Sejak 2021, kami telah cuba memperbaharui permit kebenaran daripada JPNS tetapi kami diberitahu bahawa mereka tidak akan memproses permohonan kami.

"Tahun berikutnya, permohonan saya ditolak tanpa sebab," kata pengendali nurseri, K. Alan.

Walaupun begitu, beliau berkata, pengusaha masih cuba memperbaharui permit mereka dengan JPNS dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk memperbaharui lesen perniagaan mereka dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Seorang lagi pengusaha yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Seng berkata, keluarganya telah menjaga tanah itu sejak 18 tahun lepas.

“Memandangkan kami mula-mula mendapat kebenaran daripada JPNS, kami juga mengambil tanggungjawab untuk membersihkan tanah yang tidak boleh digunakan ketika itu dan menjadikan kawasan terbabit sebagai perusahaan yang kini menjadi mata pencarian dan bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.

Ketika ditemui di tapak tersebut, beberapa pengendali nurseri memberitahu StarMetro bahawa JPNS tidak dapat memproses permohonan mereka atas sebab teknikal.

"Saya diberitahu oleh seorang pegawai bahawa ini adalah kerana tanah itu dalam proses untuk dipindahkan ke pejabat tanah (Petaling)," kata salah seorang daripada mereka.

Beberapa individu senasib Ah Seng, sebelum ini telah dipindahkan dari Lorong Hijau Selangor, Sungai Buloh untuk memberi laluan kepada projek Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH).

“Ada segelintir daripada kami yang dipindahkan dari Lorong Hijau Selangor selepas 20 tahun berada di sana kerana projek DASH dan kini kami diarah berpindah semula tanpa diberi sebarang alasan.

"Pelaburan ke atas tanah ini dan perniagaan berjumlah berjuta-juta ringgit untuk sesetengah orang dan semuanya akan menjadi sia-sia jika kita terpaksa mengosongkan premis.

“Ia amat mengejutkan kami apabila menerima surat itu. Ia adalah kurang daripada sebulan notis dan bagi sesetengah daripada kami, tidak ada cara untuk membersihkan kawasan itu dalam tempoh yang ditetapkan," kata Ah Seng.

Kebanyakan nurseri juga telah mengambil sejumlah besar stok untuk memenuhi permintaan bagi musim perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang tetapi buntu memikirkan tempat untuk meletakkan stok mereka.

Pengusaha nurseri berkata, mereka sanggup membayar sewa jika urusan sedemikian dapat diformalkan.

"Aktiviti ini mesra alam dan kami mempromosikan amalan hijau dan menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat," kata pengendali lain, T. Kumar.

Beberapa pengendali yang mewakili kumpulan itu turut menyerahkan surat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Izham Hashim dan Datuk Ng Suee Lim untuk campur tangan.

JPNS dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor tidak menjawab permintaan StarMetro untuk mendapatkan ulasan pada masa akhbar. — The Star/ CY LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram