LELONGAN awam barangan milik pelakon Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta ditangguhkan ke tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
Perkara itu disampaikan oleh sumber daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang tidak menjelaskan sebab penangguhan tersebut dibuat.
"Saya difahamkan lelongan barangan milik Che Ta yang dijadualkan berlangsung Selasa ditangguhkan.
"Namun, saya tiada maklumat lanjut mengenai sebab penangguhan ini," kata sumber itu pada Selasa.
BACA LAGI: Travel ke Hong Kong? Jangan lupa kunjungi masjid dan restoran halal khas buat pelancong Muslim
Lelongan yang sepatutnya berlangsung pada Selasa melibatkan 34 barangan dengan anggaran nilai RM902,012.46 termasuk sebuah kenderaan Haval.
Selain kenderaan, beberapa barangan elektronik milik Che Ta juga tersenarai untuk dilelong seperti peti sejuk, penghawa dingin, ketuhar gelombang mikro, mesin basuh, pengering pakaian, penyedut hampagas dan televisyen.
Terdahulu, Jabatan Undang-Undang MARA sedang dalam proses memfailkan kebankrapan terhadap Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy berikutan kegagalan mereka melunaskan pinjaman hampir RM1 juta sejak 2017.
Langkah itu adalah prosedur susulan yang dilakukan terhadap selebriti itu selepas dia gagal melunaskan hutangnya dalam tempoh tujuh tahun walaupun pelbagai usaha diambil MARA bagi mendapatkan semula wang berkenaan hingga membawa kes itu ke mahkamah. — The Star/FAZLEENA AZIZ
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram