JAWATANKUASA Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengenai kaedah kemasukan pelajar menerusi 'pintu belakang' ke universiti awam yang dibuat oleh Dr Haim Hilman Abdullah.
Dakwaan itu menyatakan bahawa kaedah tersebut menafikan hak pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.
Pengerusi JKNCR UA, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah dan tindakan tidak bertanggungjawab.
BACA LAGI: Pelajar perlu bijak pilih laluan pengajian, kerjaya terbaik
Mohd Ekhwan berkata, proses pengambilan pelajar dilakukan melalui kaedah over-and-above.
Beliau mendakwa kenyataan Haim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pendidikan Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Kedah, hanya bertujuan mengelirukan masyarakat dan mencetuskan kontroversi tanpa asas.
“Kaedah ‘pintu belakang’ untuk kemasukan pelajar ke mana-mana universiti awam di Malaysia tidak pernah wujud.
"Jumlah pelajar yang diterima melalui saluran arus perdana tidak dikurangkan dan tidak ada isu berkaitan kuota untuk pelajar kurang berkemampuan,” katanya.
Jelas beliau, proses pengambilan pelajar dilakukan melalui kaedah over-and-above, iaitu kuota arus perdana diisi terlebih dahulu sebelum kemasukan dibuka semula kepada pelajar yang membuat rayuan.
"Jelas sekali dia (Haim) berpura-pura tidak memahami prosedur kemasukan yang mempunyai dua saluran berasingan,” tambahnya.
Mohd Ekhwan turut menjelaskan bahawa majoriti kemasukan melalui saluran arus perdana yang disubsidi oleh kerajaan terdiri daripada kumpulan B40.
Sementara itu, saluran komersial dikhaskan untuk pelajar daripada kumpulan T20 dan antarabangsa.
Menurutnya, dana yang dikutip daripada saluran komersial digunakan untuk membangunkan kemudahan pengajaran, pembelajaran dan penginapan pelajar.
"Semua kemudahan tersebut tersedia secara adil untuk pelajar daripada kedua-dua saluran.
“Sebagai bekas naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), kenyataan Haim yang mengaitkan saluran komersial merampas tempat pelajar kumpulan B40 mencerminkan kekeliruan dalam memahami tujuan saluran itu diwujudkan,” katanya lagi.
Mohd Ekhwan turut menolak dakwaan Haim mengenai pengambilan pelajar antarabangsa, menyifatkannya sebagai fitnah besar.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia telah diiktiraf sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa dan menjadi pilihan pelajar luar negara.
"Universiti awam tidak berkompromi dengan kriteria pengambilan pelajar. Sebaliknya, program dalaman universiti disediakan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi pelajar.
“Kenyataan yang dibuat itu tidak hanya menimbulkan kekeliruan tetapi juga merosakkan keharmonian masyarakat.
"Hak bersuara perlu digunakan secara matang dan berasaskan kebenaran,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram