BERITA duka diterima orang ramai selepas pempengaruh media sosial, Man Kulim dilaporkan meninggal dunia pada Selasa.
Berita pemergian Allahyarham tersebar di pelbagai platform media dengan orang ramai sempat menzahirkan rasa pilu akan perkhabaran berkenaan.
"Untuk pengetahuan semua, Man Kulim baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi. Menurut info, dia mengalami demam dan lemah anggota badan dalam beberapa hari ini. Selain itu dia hidap penyakit kencing manis," tulis Atie Wati Ikornin.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak reti sabar, rider melambung ke udara dirempuh Myvi langgar lampu merah di Kulim
BACA LAGI: Kanak-kanak termakan jajan beracun di Kulim meninggal dunia
"Salam takziah kepada seluruh keluarga Man Kulim. Dia sangat rapat denganku ketika waktu permulaan meriah media sosial. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," kata Solo Ambush.
"Dengan penuh rasa sedih dan pilu, kami mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Man Kulim atas pemergian insan tersayang. Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman," kata Penang Kini.
Allahyarham Man Kulim kehilangan ibunya pada 11 Disember lalu. — Facebook/Man Kulim Peninnggg
Berita pemergiannya sedikit sebanyak mengejutkan kerana baru-baru ini, Allahyarham berkongsi kesedihannya berikutan pemergian ibunya, Siti Asa Lateh pada 11 Disember lalu.
Man Kulim atau nama sebenarnya Burhan Che Mokhtar sememangnya dikenali di media sosial, lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang berada di Kedah dan Pulau Pinang yang amat senang dengan telatahnya.
Popularitinya di media sosial menyaksikan pelbagai jenama tempatan mengambil peluang mengiklankan produk masing-masing, sekali gus menaikkan lagi nama pempengaruh tersebut.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan disemadikan di Kuala Muda, Kedah yang merupakan kampung halamannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram