[VIDEO] Kim Seri: Skandal penipuan pelancongan ke Korea babit kerugian lebih setengah juta ringgit, dedah Bukit Aman


  • Hobi
  • Khamis, 19 Dis 2024

24 kes direkodkan oleh Bukit Aman membabitkan skandal penjelajahan Kim Seri.

BUKIT Aman merekodkan hampir setengah juta ringgit kerugian dikaitkan dengan skandal jelajah Kim Seri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini, sebanyak 24 laporan yang diterima pihak polis berhubung isu itu.

"Kerugian dianggarkan sekitar RM454,450.

"Mangsa dinasihatkan segera membuat laporan polis di balai polis berhampiran supaya siasatan dapat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tuhan bayar 'cash', wanita Indonesia digilis kereta ketika buka pagar rumah

BACA LAGI: KKB 'hidden gem' aktiviti lasak, paragliding dan rafting antara 4 sukan ekstrem wajib cuba

Ramli berkata, siasatan polis akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.

Beberapa kes telah diajukan kepada agensi lain yang berkaitan seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Dalam pada itu, MOTAC juga menggesa orang ramai untuk membuat aduan rasmi kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sekiranya pernah menjadi mangsa kes penipuan perkhidmatan agensi pelancongan tidak berlesen yang ditawarkan pempengaruh media sosial itu.

"Orang awam perlu sentiasa peka terhadap makluman rasmi daripada kementerian dan membuat pengesahan terlebih dahulu mengenai apa-apa pakej yang ditawarkan oleh mana-mana agensi perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan.

"MOTAC juga akan terus memantau perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482]," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kim Seri sebelum ini telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dan berjanji untuk membayar balik pelanggan yang terjejas oleh isu yang timbul daripada pakej pelancongan Korea Selatannya.

Dia juga berjanji untuk menyelesaikan perkara itu sebelum atau 1 Feb 2025.

Ini berikutan kes satu video tular di media sosial menunjukkan seorang wanita yang mendakwa sebagai salah seorang mangsa Kim Seri.

Mangsa dan kumpulannya mendakwa mereka terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan kerana tiada tiket penerbangan seperti yang dijanjikan oleh influencer itu.

Wanita itu mendakwa bahawa pemeriksaan di kaunter tiket mendedahkan bahawa namanya dan nama kumpulannya tiada dalam sistem.

Bagaimanapun, dia berjaya pulang ke Malaysia pada Selasa dengan bantuan individu lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram