Pengguna TikTok hina Agong, PM Anwar dibebas dengan jaminan polis


  • 112
  • Khamis, 19 Dis 2024

Rayyan Wong (kanan) dibebaskan selepas membuat permohonan maaf atas kesilapannya memuat naik hantaran berbaur hinaan pada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

PENGGUNA TikTok yang tular di media sosial sebelum ini kerana mengkritik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu.

Memetik laporan Harian Metro, pemilik akaun Rayyan Wong berusia 22 tahun itu dibebaskan selepas ditahan polis bagi membantu siasatan terhadap hinaan yang dilemparkannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, permohonan reman terhadap lelaki itu ditolak mahkamah susulan pempengaruh itu telah membuat permohonan maaf menerusi akaun TikTok miliknya.

BACA LAGI: Pengguna TikTok hina Agong dan PM Anwar minta maaf, tak sedar restoran sudah ada sijil halal

BACA LAGI: [VIDEO] Makcik kantin tiada hati perut lempar jualan makanan pelajar madrasah di Indonesia

Sebelum ini, pengguna aplikasi tersebut mengakui kesilapannya berhubung status sebuah restoran asam pedas terkenal dekat Johor Bahru, Johor yang menjadi santapan tengah hari Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

"Saya baru sedar bahawa restoran tersebut mempunyai sijil halal dan sepatutnya membuat kajian lebih lanjut mengenai isu ini.

"Saya akan lebih berhati-hati pada masa hadapan agar tidak memfitnah sesiapa.

"Saya terima semua komen yang 'keras' dan akan berehat daripada media sosial selepas ini," katanya menerusi satu video yang dimuat naik pada Isnin lalu.

Dalam video terdahulu yang sudah dipadam, pengguna tersebut menyatakan bahawa dia tidak berniat untuk menghina sesiapa tetapi hanya ingin mengingatkan umat Islam agar tidak makan di restoran yang tidak halal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram