TIGA sekeluarga maut manakala dua lagi cedera selepas dua kenderaan terbabit dalam satu kemalangan di simpang masuk ladang Arami Jaya, Mersing, Johor pada Ahad.
Kejadian dilaporkan berlaku pukul 8.03 malam membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dan Proton Persona.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pusat gerakan operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, 12 anggota bomba balai Mersing bersama sebuah jentera tiba dilokasi pada pukul 8.42 malam diketuai Pegawai Bomba Kanan dua, Zainuddin Ahmad.
"Sebaik tiba di lokasi, pemandu kereta Vios yang cedera telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dibawa oleh ambulan ke hospital berdekatan.
"Manakala dua penumpang dalam kereta Proton Persona iaitu seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang turut cedera telah dikeluarkan orang ramai dan dibawa ke hospital sebelum pasukan bomba tiba," katanya.
Sementara itu, dua penumpang Proton Persona iaitu seorang lelaki warga emas dan seorang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi.
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu. — Facebook
Mangsa yang maut dikenali sebagai Md Yusuf Mukhtar, 71 tahun dan Rosnah binti Salleh, 65 tahun.
Manakala seorang lagi mangsa yang juga anak pasangan terbabit dikenali sebagai Muhamad Izuddin Md Yusof, 36, meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Dua penumpang Proton Persona iaitu seorang lelaki warga emas dan seorang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi. — Facebook
Mangsa yang cedera dikenali sebagai N. Aravindren, 28 tahun dan anak kepada Muhamad Izuddin, Athiyyah Nur Sofia Mohamed Izuddin, 5 tahun.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram