
MAHKAMAH Majistret Alor Gajah, Melaka menetapkan 23 Januari depan bagi sebutan semula kes seorang bekas guru dituduh membunuh Istiqomah Ahmad Rozi pada Disember tahun lalu.
Menurut laporan media tempatan, Majistret Dr Teoh Shu Yee menetapkan tarikh itu selepas Pegawai Pendakwa, Inspektor Noor Hidayu Abd Latif, memaklumkan pihaknya sudah menerima laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat berhubung pembunuhan kejam mangsa yang juga seorang guru.
Tarikh itu turut ditetapkan mahkamah selepas menerima cadangan daripada peguam mewakili tertuduh, K Veeranesh.
BACA LAGI: Isteri bebas, suspek kes bunuh Cikgu Istiqomah dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Isnin
Terdahulu, suspek utama kes bunuh berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada 19 Ogos lalu.
Tertuduh, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.
Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berasal dari Medan Klebang Mewah, Chemor, Perak kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Istiqomah yang bertugas sebagai seorang guru di SK Kota Masai 3 dilaporkan hilang selepas gagal pulang dari kerja pada 26 Disember 2023.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan bekas guru didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu melakukan bunuh terhadap Istiqomah di tepi jalan Kampung Tanjun Rimau Luar, Pulau Sebang, Melaka, antara 26 Disember 2023 hingga 31 Disember 2023.
Istiqomah, 34 tahun bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, Johor dilaporkan hilang selepas gagal pulang dari kerja pada 26 Disember 2023.
Kereta mangsa ditemui di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Pasir Gudang pada keesokan harinya iaitu pada 27 Disember.
Pada 31 Disember tahun lalu, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang, Melaka.
Polis kemudiannya mengenal pasti mayat sebagai Istiqomah melalui ujian DNA dijalankan Bukit Aman pada 2 Ogos lalu.
Berdasarkan petunjuk baharu itu, polis Melaka melancarkan siasatan mendalam bersama rakan sejawatan mereka di Johor sebelum menahan pasangan suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak, pada 5 Ogos lalu.
Suspek lelaki kemudiannya membawa kepada penemuan lebih banyak bahagian mayat mangsa, kira-kira enam kilometer dari lokasi mayat mangsa ditemui.
Isteri suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada terlibat dengan kes itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram