POLIS membuat kawalan ketat terhadap kepimpinan tertinggi Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) yang didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor pada Isnin.
Ketua Pegawai Eksekutif GISB, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, isterinya, Datin Azura Md Yusof, anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa'ari dan 19 individu terlibat lain tiba di mahkamah pukul 8.20 pagi.
Seramai lebih 20 pegawai unit khas dilihat mengawal dan mengiringi ahli GISB tersebut ke mahkamah.
BACA LAGI: Kerja sambil membaca, penuntut UKM manfaat masa terluang cari ilmu di kedai buku terpakai
Seramai 22 ahli GISBH didakwa kerana terlibat dalam kumpulan jenayah terancang sejak 2020. — Gambar hiasan
Bagaimanapun, kes membabitkan seramai 22 ahli GISB itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.
Kesemua tertuduh didakwa dengan satu pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang sejak 2020.
Pada masa sama, peguambela tertuduh, Datuk Rosli Kamaruddin membuat permohonan agar melucutkan penahanan penjara secara berasingan anak guamnya iaitu Nasiruddin dan Azura yang masing-masing dipenjarakan di Penjara Kajang dan Sungai Buloh, Selangor.
"Kami akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mendapatkan surat sokongan daripada polis berhubung pengasingan itu," katanya.
Seorang lagi peguam, Najib Zakaria juga akan membuat permohonan perintah larangan bersuara (gag order) di Mahkamah Tinggi.
Ini kerana kes itu tertakluk kepada perbincangan umum bersifat subjudis yang dikhuatiri akan mengganggu perjalanan kes.
Pendakwaan kes tersebut juga dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun dan Shafiq Hasim.
Seramai 11 ahli lelaki yang didakwa dalam kes itu selain Nasiruddin iaitu Mohd Shukri Mohd Noor, 53; Hasnan Abd Hamid, 53; Mokhtar Tajuddin, 60; Shuhaimi Mohamed, 56; Muhammad Afdaluddin Latif, 34; Mohamad Sayuti Omar, 35; Mohd Fazil Md Jasin, 57; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 51; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 34; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.
Manakala, lapan wanita yang dituduh selain Azura, ialah Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 44; Mahani Kasim, 54; Siti Hajar Ismail, 51; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27; Nurul Jannah Idris, 28; Nur Jannah Omar, 32; dan Siti Salmiah Ismail, 57.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menganggotai GISBH di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang, Selangor dari Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Pertuduhan itu juga mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram