KERAJAAN masih belum mencapai sebarang ketetapan berhubung penetapan syarat tambahan terhadap warga emas berusia 65 tahun ke atas untuk menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan sebelum memperbaharui lesen Memandu Malaysia (LMM).
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, perkara itu masih dalam perancangan peringkat dasar Kementerian Pengangkutan (MOT).
Susulan daripada itu, beliau berkata, tiada sebarang perubahan terhadap proses memperbaharui lesen memandu warga emas dan ia masih tertakluk kepada syarat sedia ada ditetapkan JPJ.
“Bukan kami tidak mempunyai perancangan untuk itu, tetapi buat masa ini, pembaharuan lesen memandu warga emas kekal seperti biasa. Warga emas masih dibenarkan memandu kenderaan tanpa sebarang syarat atau ujian tambahan.
“Bagaimanapun, JPJ dan Kementerian Pengangkutan sedang meneliti perancangan masa depan berhubung isu ini, berdasarkan kajian yang dijalankan kementerian,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan majlis penutupan program MyLesen 2024 di Teluk Intan, Perak, pada Isnin.
Aedy Fadly (kiri) berkata, tiada sebarang perubahan terhadap proses memperbaharui lesen memandu warga emas pada waktu ini.
Desas-desus mengenai syarat tambahan itu timbul selepas wujudnya perdebatan dalam kalangan masyarakat berhubung kewajaran mewajibkan warga emas berumur 65 tahun bagi menjalani penilaian kecekapan dan kesihatan untuk memperbaharui lesen memandu mereka.
Terdahulu, program MyLesen 2024 menyaksikan sebanyak 2,500 lesen motosikal (Kelas B2) diberikan kepada penerima daripada kumpulan B40, manakala 40 individu diberikan Lesen Memandu Barang (GDL) untuk lori, 30 menerima lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan 25 lesen e-hailing.
Dalam pada itu, Aedy Fadly turut menekankan bahawa pemasangan kamera Automated Enforcement System (AES) di KM265.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora berjaya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di kawasan itu dengan ketara.
"Penguatkuasaan kamera AES telah terbukti berkesan, dengan pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan had laju mencapai 99% secara keseluruhan.
"Statistik menunjukkan selepas kamera dipasang di kedua-dua arah, tiada kemalangan jiwa berlaku, dan ini akan berterusan selagi pemandu mematuhi had laju," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram