Bilangan mangsa banjir dipindahkan di Kedah meningkat


  • 112
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Situasi banjir di ketiga-tiga negeri Utara itu menyebabkan kerosakan cukup teruk kepada harta persendirian dan awam. — Astro Awani

JUMLAH mangsa banjir di Kedah dilaporkan sudah mencecah 6,087 setakat pukul 8 pagi Jumaat, berbanding 4,425 yang dicatatkan pada malam sebelumnya sementara situasi di Perlis dan Pulau Pinang tidak menunjukkan perubahan ketara.

Menurut laporan Info Bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, 1,942 keluarga yang terkesan dengan banjir itu sudah dipindahkan ke 36 pusat perpindahan sementara (PPS) sekitar tujuh daerah.

Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,424 individu dipindahkan, diikuti Kubang Pasu (1,537), Pokok Sena (925), Pendang (806), Kuala Muda (184), Bandar Baharu (131), dan Kulim (80).

BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa terjejas banjir di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis melonjak naik 4,223 orang

BACA LAGI: MB minta rakyat Kedah patuh arahan, SOP berpindah ke PPS elak tercicir bantuan banjir RM1,000

51726738568_TBBANJIRKEDAH

Beberapa kediaman terjejas akibat bencana alam tersebut. — Astro Awani

Bagaimanapun, laman sesawang Infobanjir menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan jumlah sungai yang melepasi aras berbahaya sudah menurun kepada enam setakat pukul 8 pagi.

Antara sungai yang menunjukkan penurunan itu ialah Sungai Padang Terap di Kepala Batas dan Sungai Kedah yang berhampiran Jambatan Lebuhraya sekitar Kota Setar.

Di Perlis pula, seramai 114 mangsa banjir kini ditempatkan di tiga PPS di Arau dan Kangar setakat 8 pagi berbanding 115 orang pada Khamis malam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, 47 mangsa berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Ahmad Musa, 37 mangsa di SK Kubang Gajah di Arau dan 30 mangsa di SK Sena di Kangar.

WhatsApp Image 2024-09-20 at 10.52.03 AM

Hampir kesemua daerah di Kedah terjejas teruk akibat banjir tersebut.

Banjir di Arau melibatkan kawasan seperti Kampung Sungai Padang dan Kampung Kubang Gajah, manakala di Kangar, banjir melanda Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau, Kampung Sena, dan Kampung Seberang Tambang.

Di Pulau Pinang pula, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 578 orang yang ditempatkan di lapan PPS setakat 7.30 pagi berbanding 594 orang pada Khamis malam.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, 168 keluarga yang terjejas banjir melibatkan tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Di SPU, sebanyak 421 mangsa ditempatkan di SK Padang Menora, SK Lahar Yooi, Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang, dan Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting.

Di SPT, 116 mangsa berada di Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir, dan SMK Permatang Rawa sementara di SPS pula, 41 mangsa ditempatkan di Dewan MPKK Sanglang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram