PELAWAK Along Cham nyata kecewa selepas permohonan ikat jamin terhadapnya dinafikan oleh mahkamah pada Jumaat.
Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, sebelum itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyimpan ganja seberat 58.26 gram di kediaman dekat Cyberjaya, Selangor pada 14 Disember sekitar 3.10 petang.
Bekas peserta program Raja Lawak itu memohon ikat jamin kepada Hakim Ahmad Fuad Othman kerana masih mempunyai anak yang bersekolah, namun rayuan itu tidak dibenarkan.
BACA LAGI: 'Kalau boleh, saya nak dia betul-betul sayang anak saya' — Along Cham
"Tolonglah, saya merayu untuk dilepaskan dengan ikat jamin, saya ada anak-anak yang masih bersekolah," katanya.
Permohonan Along untuk dilepaskan dengan ikat jamin dinafikan kerana kesalahan yang disabitkan terhadapnya tertakluk kepada kesalahan-kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.
Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta yang sama.
Jika didapati bersalah, Along boleh dikenakan penjara tidak kurang daripada lima tahun serta hukuman sebat tidak kurang daripada 10 kali.
Dalam pada itu, Along mengaku bersalah kepada Mahkamah Majistret kerana memiliki ganja seberat 2.07 gram pada tarikh, waktu dan lokasi serupa.
Dia didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh menyebabkan denda tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Untuk kes ini, Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan Along diikat jamin dengan nilai RM2,500 dan prosiding akan bersambung pada 28 Februari 2025. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram