SEORANG bakal pengantin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, pada Selasa (17 Disember) atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua remaja, termasuk seorang pelajar sekolah, pada tahun lalu.
Tertuduh, S. Vinudharan, 26, yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan minggu depan, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri.
Menurut laporan Malaysia Gazette, berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan yang menyebabkan kematian dua remaja lelaki berusia 16 tahun, Erwan Idris dan Putra Norsyaqir Putrawirawan.
BACA LAGI: GPO dan JPO tawar keseronokan membeli-belah premium sebelum tirai 2024 ditutup
BACA LAGI: Tiga sefamili maut, nahas babit 2 kereta dekat simpang masuk ladang di Mersing
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Jalan Krubong Permai, daerah Melaka Tengah, kira-kira pukul 9.53 malam pada 24 Disember 2023.
Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 1999).
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tidak kurang daripada lima tahun, selain lesen memandunya akan digantung bermula dari tarikh pertuduhan pertama kali dibacakan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM16,000. Bagaimanapun, peguam MX Koh yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori di pasar borong dengan pendapatan harian sebanyak RM60 dan menanggung keluarganya serta seorang adik yang masih belajar di kolej.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, pada 25 Disember tahun lalu media melaporkan bahawa dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa yang maut adalah penunggang motosikal, Putra Norsyaqir Putrawirawan, dan pembonceng, Erwan Idris.
Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun telah masuk ke laluan bertentangan akibat terlelap sebelum melanggar kedua-dua mangsa dan seterusnya merempuh sebuah kereta Perodua Myvi.
Akibat kemalangan tersebut, Erwan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Krubong yang mengalami kecederaan parah, meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala, Putra Norsyaqir, yang bekerja sambilan dalam bidang katering, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram