Farid Kamil enggan ceraikan Diana Danielle buat kali ke-2, mahkamah perintah lantik wakil JKP dalam kalangan keluarga terdekat


Diana Danielle (kanan) dan Farid Kamil diperintah melantik wakil JKP oleh Mahkamah Rendah Syariah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin.

PASANGAN pelakon, Diana Danielle dan Farid Kamil diperintah melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) oleh Mahkamah Rendah Syariah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin.

Perkara itu diperintahkan oleh Hakim Syarie, Abdul Fattah Kamarudin selepas Farid Kamil enggan melafaz cerai terhadap pelakon drama Imaginur itu pada sebutan kali kedua kes penceraian mereka.

Peguam mewakili Diana Danielle, Datuk Akberdin Abdul Kadir sebelum ini menjelaskan bahawa JKP perlu diperoleh daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.

"Kalau sah bercerai, dikira talak kedua," katanya sewaktu prosiding sebelum ini.

BACA LAGI: Rancang sambut 'birthday' Aurora di lokasi rahsia, Farid Kamil jawab alasan berbaju Melayu persis berkabung

BACA LAGI: ‘Doakan baik-baik’, Farid Kamil tak lagi bawa bunga, pakai ala-ala berkabung ke mahkamah

Diana ke mahkamah pada 4 November lalu untuk failkan penceraian kali kedua.

Diana Danielle enggan memaklumkan wakil JKP yang akan mewakilinya.

Pemilik nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson enggan memaklumkan wakil JKP yang akan mewakilinya, manakala Farid belum melantik wakil JKP.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 24 Mac tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan mengenai JKP yang ditetapkan oleh kedua-dua belah pihak.

Semasa prosiding, Diana diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Farid diwakili Fakhrul Azman Abu Hassan.

PAda 20 November lepas, Akberdin menjelaskan bahawa tiada lagi persefahaman dan perbalahan yang panjang antara punca Diana tekad memfailkan penceraian kali kedua pada 4 November lalu.

Permohonan cerai dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Pada 10 Mac 2023, Diana memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Farid dan Diana kemudian bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu, namun rujuk kembali sebulan kemudian. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram