LIMA tahun menduda, pelakon komedi, Along Cham mengakui rasa teringin untuk berkahwin itu ada,cuma belum sempat bertemu dengan yang sesuai.
Menurut Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad berkata, dalam fasa bergelar duda itu juga dia sempat berkenalan dengan beberapa wanita namun tidaklah sehingga ke tahap bercinta.
"Sekarang saya sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon komedi dan saya takut jika saya menjalin hubungan cinta, komitmen itu tidak dapat dibahagikan dengan baik.
"Lagipun saya fikir kalau kahwin bukan dengan saya seorang. Saya ada anak, (dan) selalu rasa tertanya-tanya itu muncul adakah dia boleh jaga anak saya macam setanding saya.
"Bukan nak kata fobia atau sebagainya, sebab ini darah daging kita. Jadi kalau boleh, saya nak dia betul-betul sayang anak saya," katanya kepada Majoriti selepas sidang akhbar Festival Filem Malaysia ke 31 pada Rabu.
Ditanya sama ada Along serik untuk berkahwin dengan pasangan yang bergelar artis, jelasnya, perkara itu diletakkan atas ketentuan Allah.
Malah, Along juga mengakui apa yang terjadi sebelum ini melibatkan perkahwinannya adalah atas kesilapan dirinya juga dan dia kini lebih fokus untuk memperbaiki diri sendiri dahulu.
Untuk rekod, Along pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas bintang Akademi Fantasia 4, Zila Seeron pada 23 Januari 2010.
Namun, pasangan itu bercerai talak satu pada 29 Ogos 2016 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Danial yang kini berusia 11 tahun.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kerjaya terkininya, Along memberitahu dia lebih selesa untuk dikenali sebagai pelakon komedi berbanding sebagai pelawak.
"Saya kalau ada orang letak gelaran raja lawak di belakang nama Along, memang saya akan suruh padam.
"Saya rasa dengan apa yang diusahakan sebelum ini dalam industri filem membuatkan saya rasa tidak sesuai lagi untuk berada di kelompok raja lawak.
"Bukan saya tak nak dikenali sebagai pelawak, tetapi saya dah buktikan yang saya boleh menjadi pelakon komedi dengan watak yang tersendiri," katanya.
Tambahnya, pelawak kini terlalu ramai dan terpulang pada seseorang itu untuk menghalakan kerjayanya sama ada mahu fokus sebagai pelawak atau pelakon komedi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram