Rosmah mohon tangguh prosiding kes saman kehilangan lebih 40 barang kemas


Rosmah (kanan) memohon untuk menangguhkan prosiding kes saman melibatkan syarikat barang kemas Global Royalty Trading SAL. — The Star

DATIN Seri Rosmah Mansor memohon untuk menangguhkan prosiding kes saman yang difailkan oleh syarikat barang kemas Global Royalty Trading SAL yang berpangkalan di Lubnan terhadapnya berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas.

Peguamnya, Rajivan Nambiar berkata, permohonan yang difailkan pada 7 Jun itu adalah bagi menunggu rayuan anak guamnya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Rosmah untuk memasukkan kerajaan dan polis sebagai pihak ketiga dalam kes saman itu diputuskan Mahkamah Rayuan.

Rajivan berkata, mahkamah menetapkan 16 Ogos ini untuk pendengaran permohonan itu secara dalam talian di hadapan Hakim Ong Chee Kwan dalam prosiding di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Norhaina Zulkifli pada Isnin.

BACA LAGI: Rosmah gagal libatkan polis, kerajaan kes tuntutan kehilangan barang kemas

BACA LAGI: Penjimatan subsidi sahaja tidak cukup, perlu ada rombakan sistem percukaian — Pakar ekonomi

Rosmah's arrived first day of graft trial at Duta Court Kuala Lumpur.Starpic by Kamarul Ariffin/5.2.2020

Rosmah Mansor. — The Star

Global Royalty selaku plaintif memfailkan saman pada 29 Mei 2023 itu mendakwa, Rosmah telah berbohong dengan menyatakan 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan seorang ejen syarikat itu kepadanya telah dirampas pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Syarikat itu juga mendakwa, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

Untuk rekod, syarikat itu pada awalnya menyaman Rosmah pada 26 Jun 2018 dan menuntutnya memulangkan kembali 44 unit barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih, atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan yang berjumlah RM67.4 juta (AS$14.79 juta). Saman itu bagaimanapun ditarik balik pada 2019. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram