[VIDEO] Datang sekolah macam biasa, motif remaja perempuan AS tembak mati rakan dan guru guna pistol 9mm masih misteri


  • Benua
  • Selasa, 17 Dis 2024

Pihak polis sedang menyiasat motif di sebalik insiden tembakan di Abundant Life Christian School di Madison, Wisconsin, pada Isnin.

SEORANG pelajar melepaskan tembakan di Abundant Life Christian School di Madison, Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

Insiden tembakan itu mengakibatkan enam cedera dan dua mangsa terkorban, termasuk seorang guru dan pelajar.

Ketua Polis Madison, Shon Barnes berkata, suspek adalah pelajar perempuan berusia 17 tahun yang juga pelajar di sekolah swasta berkenaan, namun identiti sebenar remaja itu masih belum didedahkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Suspek tembak PM Slovakia penulis berusia 71 tahun, pengasas gerakan politik baharu

BACA LAGI: Suspek tembak KLIA akui masih sayangkan Farah Cie

Menurutnya, pelajar tersebut difahamkan menghadiri sekolah seperti biasa sebelum melancarkan serangan menggunakan pistol 9mm, kira-kira pukul 11 pagi.

"Suspek kemudian ditemui mati di tempat kejadian dengan sepucuk pistol berada berdekatan tubuhnya.

"Sehingga kini, polis belum mengenal pasti motif di sebalik insiden tembakan ini, bagaimanapun keluarga suspek sedang bekerjasama dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, maklum Barnes, dua pelajar kini berada dalam keadaan kritikal di hospital akibat kecederaan serius, manakala empat lagi cedera ringan, dengan dua daripadanya sudah dibenarkan pulang.

Pihak berkuasa turut merayu agar mana-mana saksi yang melihat atau mendengar kejadian tampil memberikan maklumat untuk membantu siasatan.

"Setiap kanak-kanak dan individu di bangunan ini adalah mangsa dan trauma mereka akan kekal selamanya," kata Ketua Barnes, menekankan keperluan untuk menyokong mereka yang terjejas.

Abundant Life Christian School mempunyai seramai 400 pelajar terdiri daripada peringkat tadika hingga sekolah menengah.

Gabenor Wisconsin, Tony Evers, mengarahkan agar bendera dikibarkan separuh tiang di bangunan negeri sebagai penghormatan kepada mangsa.

Presiden Joe Biden dalam pada itu menyifatkan kejadian berkenaan sebagai 'tidak masuk akal' dan mengecam keganasan senjata api yang terus berulang di negara tersebut.

Beliau turut menggesa Kongres untuk meluluskan undang-undang bagi mencegah lebih banyak insiden serupa berlaku. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram