ISU bayi dilahirkan tidak sempurna tanpa mata, hidung dan lubang kemaluan hangat diperkatakan masyarakat negara ketika ini.
Ia susulan kes mayat bayi lelaki yang didakwa disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta dekat Klang, Selangor baru-baru ini yang nyata mengundang sebak pelbagai pihak.
Namun, isu kecacatan dialami menjadi topik bualan hangat ramai apabila ia disalah tafsir sebagai sumpahan atau kepercayaan karut melibatkan fahaman tertentu.
BACA LAGI: [VIDEO] Menyanyi terapi terbaik Khalyn Mulyani, 'padam' ejekan hitam, pendek ketika zaman sekolah
Mengulas lanjut berhubung hal itu, Public Health Malaysia (PHM) berkongsi beberapa kondisi yang boleh membawa kepada kelahiran bayi tidak sempurna sedemikian.
"Bayi dengan kondisi ini biasanya tidak mempunyai hidung dan kerap kali disertai kecacatan lain seperti masalah jantung, ginjal atau organ dalaman, menjadikannya tidak sesuai untuk hidup.
"Ia merupakan sindrom Cyclopia yang berpunca daripada gabungan faktor genetik dan persekitaran seperti mutasi genetik, kecacatan kromosom, diabetes ibu yang tidak terkawal, kekurangan asid folik, serta pendedahan kepada bahan toksik semasa kehamilan.
"Cyclopia boleh dikesan melalui ujian gelombang bunyi (ultrasound) terperinci seawal usia kandungan 11 hingga 14 minggu," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Tegas menafikan ia ada kaitan dengan faktor sumpahan ataupun 'kenan' ke atas bayi, PHM menjelaskan bahawa ia adalah kepercayaan khurafat yang tidak berasas.
"Cyclopia adalah fenomena perubatan yang disebabkan faktor genetik dan biologi, bukan akibat makanan seperti nanas atau kepercayaan karut," jelasnya.
Bagi mencegah risiko kecacatan kelahiran, PHM menasihatkan agar ibu hamil memastikan pengambilan asid folik yang mencukupi sebelum dan semasa kehamilan, selain mengawal penyakit seperti diabetes.
Terdahulu, perkongsian Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) di Facebook mengenai pengurusan jenazah bayi lelaki yang dilahirkan tidak sempurna mengundang pelbagai reaksi masyarakat.
Pengasasnya berkongsi bahawa pihaknya terpaksa menggunakan air panas bercampur air paip untuk memandikan jenazah bayi lelaki diberi nama Adham, selepas disimpan di peti sejuk mayat sebuah hospital swasta selama dua minggu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram