MENJADI anak seorang pendatang dari China tidak sesekali memberi kekurangan pada diri penulis The Star, Tang Ching Leng.
Bapanya, Tang Chen Neo dilahirkan pada 3 September 1945 dan merupakan anak keempat daripada lapan beradik dalam keluarga.
Datuknya, Tan Seng Kay pula seorang pendatang dari China yang menjalankan perniagaan runcit dan pembuatan perabot di Muar, Johor.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Aku mesti lawan', peguam terkenal tampil pertahankan waris arwah Muhammad Adham
Cheng Neo (lima dari kiri) bersama ahli pengakap ketika bertugas sebagai guru. — The Star
Bercerita lanjut tentang susur galur sejarah keluarganya, Ching Leng berkata, bapanya mudah disenangi ramai dengan sifatnya yang ceria dan bertenaga.
Ching Leng pada masa sama tidak menafikan bahawa bapanya juga mempunyai sifat nakal seorang kanak-kanak sehingga menyebabkannya sering dimarahi oleh neneknya.
Namun, ia juga merupakan detik-detik permulaan awal bagi bapanya untuk menjadi insan hebat di dalam hidupnya.
“Lebih istimewanya bapa saya apabila datuk memutuskan untuk menghantarnya ke sekolah Inggeris sementara adik-beradik lain di sekolah Cina.
“Mungkin kerana datuk rasa bapa saya tidak tahan dengan disiplin yang ketat di sekolah Cina,” katanya.
Keputusan itu ternyata menberi perubahan besar dalam hidupnya sehingga kini.
Katanya lagi, hasil pembelajaran dan pengaruh rakan di sekolah yang dipertemukan dengan seorang warga Ireland, Robert O’Sullivan, ia memberi inspirasi kepada bapanya untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
Sebagai seorang yang aktif dalam menyertai aktiviti pengakap di sekolah, Chen Neo tidak hanya mengasah kemahiran dalam kepimpinan, malah belajar erti persahabatan kekal.
Pada 1962, Chen Neo dianugerahkan sijil penghargaan Pengakap Diraja yang diberikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Ia sekali gus merupakan pengiktirafan berharga serta membanggakan buatnya.
“Bukan itu sahaja, impian ayah saya adalah untuk melanjutkan pelajaran ke universiti di England, United Kingdom (UK) kerana terinspirasi oleh mentornya.
“Namun, disebabkan kekangan kewangan, dia terpaksa melupakan impian itu dan memilih untuk mendaftar di maktab perguruan.
“Berkat kesabarannya, dia lulus dan menjadi seorang guru muda yang mengajar subjek Bahasa Inggeris, seni serta aktif menjadi tenaga pengajar kelab pengakap,” jelasnya.
Cheng Neo dan isterinya sewaktu muda. — The Star
Meskipun bapanya tidak lagi dapat menyumbang khidmat selepas kematiannya pada 12 Ogos 2023, namun jasanya dalam bidang pendidikan tetap terus diingati sehingga kini.
Pada hari pengebumiannya, ramai bekas pelajarnya yang hadir memberi penghormatan terakhir.
Katanya, para pelajar itu juga sempat bercerita tentang usaha gurunya dalam memastikan mereka belajar dengan baik di sekolah.
“Mereka kata ayah selalu datang melawat ke rumah mereka sekiranya ada pelajar yang tidak hadir ke sekolah.
“Mereka juga kadang-kala diberi wang poket oleh ayah untuk beli makanan atau buku,” kongsinya.
Tidak sekadar menyumbang jasa dalam pendidikan, Chen Neo juga mewarisi semangat keusahawanan daripada Seng Kay.
“Pada 1982, ayah saya menubuhkan sebuah syarikat pembuatan pakaian sehingga berkembang ke Vietnam.
“Dia juga menceburi bidang hartanah dan kejayaan perniagaannya ini mencerminkan semangat keusahawanan yang diwarisinya daripada datuk saya,” katanya.
Walaupun meraih pelbagai pencapaian, Chen Neo tetap tidak lupa untuk membantu golongan memerlukan termasuk ahli keluarganya sendiri.
Kata Ching Leng, bapanya sanggup menaja beberapa anak saudaranya untuk melanjutkan pengajian di luar negara dan membuat sumbangan amal.
“Walaupun mempunyai pandangan Barat, ayah saya tetap seorang yang menerapkan budaya tradisional.
“Selepas kematian datuk saya, ayah saya mengambil alih peranan sebagai ketua keluarga dan menjadikan rumahnya tempat pertemuan keluarga setiap tahun.
“Setiap kali perayaan Qing Ming, beliau pasti membawa kami untuk memberi penghormatan kepada ibu bapa di tanah perkuburan,” ceritanya.
Cheng Neo (kanan) meninggal dunia pada usianya 78 tahun. — The Star
Hari Qing Ming atau dipanggil Pesta Ching Ming, merupakan perayaan tradisional di China yang diadakan pada hari ke-104 selepas Solstis Musim Sejuk (atau hari ke-15 selepas Ekuinoks Musim Bunga) dan lazimnya diadakan pada 5 atau 6 April setiap tahun.
Qing Ming juga menandakan masa bagi orang ramai untuk keluar dari rumah dan menikmati kehijauan musim bunga serta menziarahi kubur orang tersayang.
Bapanya juga terkenal dengan kebijaksanaan dalam menjaga hubungan kekeluargaan.
Chen Neo membina dua bangunan di Muar dan menamakannya sempena nama ibu bapanya sebagai penghargaan kepada mereka.
Dia juga memastikan tempat peristirahatan terakhirnya terletak betul-betul di bawah kubur ayah tercinta di kolumbarium kuil tempat datuknya pernah berkhidmat sebagai pengerusi.
“Namun, penyesalan terbesar ayah saya adalah tidak menjaga kesihatannya dengan lebih baik.
“Ketika kami berbual tentang kehidupan, saya sentiasa ingat bagaimana sedihnya dan letihnya dia berkata, ‘ketika saya masih muda, ketakutan terbesar saya adalah akan menjadi tua tanpa wang. Tetapi, sekarang saya sudah tua, penyesalan terbesar adalah mempunyai wang tetapi tiada cara untuk menikmatinya’.
“Dia sangat merindui waktu-waktu untuk bercuti bersama cucu-cucunya, serta meluangkan masa bersama rakan-rakannya,” katanya.
Ching Leng berkata, legasi bapanya yang dapat diteruskan adalah melibatkan kerja keras, menghargai keluarga dan menjaga keseimbangan dalam hidup.
“Kami akan terus mengingat nasihat beliau dan berusaha untuk meneruskan segala yang telah ditinggalkannya,” jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram