KEMEROSOTAN hasil jualan di bazar Aidilfitri pada 2024 sememangnya merupakan mimpi ngeri buat seluruh peniaga.
Masakan tidak, sambutan jualan kebanyakan bazar terbesar di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dilaporkan jatuh mendadak disebabkan perubahan gaya hidup dan pertumbuhan pembelian secara dalam talian.
Ditambah pula dengan kerancakan para peniaga yang tergolong daripada kalangan pempengaruh dan selebriti yang menggunakan platform media sosial seperti TikTok sebagai strategi pemasaran.
BACA LAGI: Jumlah simpanan asas persaraan KWSP dinaikkan kepada RM390,000 menjelang Januari 2028
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita tunjuk 'keras' duduk dalam kereta halang lori rosakkan jalan di Dengkil
Melihat kepada situasi itu, seorang pengguna akaun Facebook, Tengku Shah mengingatkan seluruh peniaga untuk lebih agresif dan bijak menggunakan platform tersebut.
Berdasarkan pemerhatiannya, kesemua peniaga bazar raya kini perlu mengikut rapat trend terkini agar dapat melariskan jualan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, golongan itu tidak boleh bertindak pasif atau hanya menunggu pelanggan di kedai mereka.
"Peniaga bazar raya 2025, anda dah kena mula bertindak. Sekarang pembeli dah mula beli baju raya.
"Peniaga-peniaga di TikTok buang harga kaw-kaw (terlalu banyak) dengan kualiti baju yang cantik setanding butik.
"Jadi, anda dah kena mula daripada sekarang promosikan produk di TikTok. Kalau buat konten (kandungan) sedih-sedih sebab tak ada pelanggan pun tak guna.
"Orang sekarang nak beli baju raya cepat dan murah sahaja," katanya.
Menurutnya, para peniaga yang membuka gerai jualan atau mempunyai kedai boleh menjual secara dalam talian menerusi siaran langsung di TikTok.
Baginya, perubahan zaman dan perkembangan teknologi kini sekali gus mengubah cara perniagaan dan pembelian sesuatu produk itu.
"Selalunya orang akan beli baju raya dua atau tiga minggu awal dan aku sebagai pembeli pun mahukan baju yang cantik, berkualiti dan murah.
"Disebabkan itu, peniaga bazar raya 2025 nanti perlu lakukan tindakan sama supaya tak rugi besar," cadangnya.
Perkara itu juga disokong oleh beberapa warga maya yang bersetuju bahawa harga memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sesuatu perniagaan.
Tidak kurang juga ada yang menganggap bahawa harga baju dikenakan di bazar raya terlalu tinggi berpunca daripada harga sewaan tapak yang tidak masuk akal sehingga menyebabkan pelanggan lari.
"Masalah bazar bukan tak boleh berniaga, tetapi harga tapak macam s*****n. Peniaga terpaksa naikkan harga untuk tanggung harga tapak.
"Itulah faktor utama peniaga banyak rugi," komen Mohd Khairul Ikhsan Hashim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram