RANGKA Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan bahawa jumlah simpanan perasaraan dinaikkan kepada RM390,000 menjelang 1 Januari 2028 berbanding RM240,000.
KWSP dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, ia akan melibatkan peningkatan sebanyak RM50,000 setiap tahun.
Menurutnya, jumlah peningkatan itu dinaikkan secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun dengan RM290,000 menjelang 1 Januari 2026; RM340,000 menjelang 1 Januari 2027 dan RM390,000 menjelang 1 Januari 2028.
BACA LAGI: [VIDEO] Jalan gelap di Kuala Terengganu punca penunggang motor nyaris maut terlanggar lopak air
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita tunjuk 'keras' duduk dalam kereta halang lori rosakkan jalan di Dengkil
Rangka kerja RIA yang bakal dilancarkan Januari 2026 itu juga membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup dan aspirasi persaraan masing-masing. — Gambar hiasan
KWSP berkata, Rangka Kerja RIA juga akan mempunyai rangka kerja simpanan tiga peringkat untuk memberi panduan kepada ahli tentang simpanan yang diperlukan untuk persaraan yang selesa.
"Rangka kerja yang bakal dilancarkan Januari 2026 itu juga membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup dan aspirasi persaraan berbeza.
"Pendekatan ini menekankan kepentingan melihat simpanan KWSP sebagai sumber pendapatan berterusan, membantu ahli memahami simpanan yang mereka perlukan untuk menyara diri di usia persaraan," jelasnya.
Tiga fasa dalam Rangka Kerja RIA itu meliputi Simpanan dan Pendapatan Asas; Simpanan dan Pendapatan Mencukupi dan Simpanan dan Pendapatan Dipertingkat.
Katanya, ia akan disandarkan pada Pendapatan Persaraan Mencukupi seperti yang ditentukan dalam Belanjawanku dari semasa ke semasa.
"Berdasarkan Belanjawanku 2024/2025, seorang warga emas tiada pasangan memerlukan kira-kira RM2,690 sebulan (Pendapatan Persaraan Mencukupi) untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa bersara.
"Panduan Belanjawanku yang dibangunkan KWSP bersama Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial (SWRC) sejak 2019 kini diperluaskan meliputi 11 bandar utama lain di Malaysia dan dikemas kini setiap tahun bagi mencerminkan kos sara hidup semasa.
"Simpanan Mencukupi pula ditetapkan pada 240 kali ganda Pendapatan Persaraan Mencukupi, dibundarkan ke bawah kepada RM10,000 terdekat (RM650,000).
"Manakala Simpanan Asas adalah 60 peratus daripada jumlah Simpanan Mencukupi (RM390,000) dan Simpanan Dipertingkat pula 200 peratus daripada jumlah Simpanan Mencukupi (RM1.3 juta)," katanya.
Tambahnya, rangka kerja itu menggalakkan pengeluaran bulanan selama 20 tahun selari dengan purata jangka hayat di Malaysia.
Tahap simpanan RIA juga akan disemak setiap tiga tahun bermula pada 2029 menggunakan data terkini daripada hasil kajian Belanjawanku agar terus relevan dengan peningkatan kos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram