Graduan IT tinggalkan kerjaya 'oil and gas', idam 'Pok Leko' muncul jenama premium antarabangsa


  • Bizz
  • Rabu, 11 Dis 2024

Mohd Izzat mula menjual keropok lekor pada 2018 selepas mendapat dorongan daripada rakannya.

BERMULA dengan ajakan kawan, seorang bekas pekerja syarikat gas dan minyak membuat keputusan memberanikan diri bagi menceburi bidang perniagaan menjual keropok lekor.

Pada 2015, Mohd Izzat Omar, 34, yang juga anak kelahiran Kota Tinggi, Johor berhijrah ke Kemaman, Terengganu yang juga kampung isterinya selepas mendapat tawaran kerja di daerah tersebut.

Dalam tempoh tersebut, dia yang juga graduan dalam bidang teknologi maklumat (IT) turut terdedah kepada potensi yang wujud dalam perniagaan keropok lekor menerusi saranan daripada kenalannya.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Selepas empat tahun terlibat dalam bidang minyak dan gas, Mohd Izzat akhirya membuat keputusan untuk memulakan perniagaan jualan keropok lekor pada 2018.

"Saya mula bisnes ini sebab ada kawan yang juga jual keropok lekor menawarkan diri berniaga sama-sama.

"Jadi bermula dari situ saya tertarik dan dia pun mula suruh cari tempat, kumpul modal dan sebagainya," kongsi bapa kepada tiga orang anak itu kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-12-08 at 14.05.55

Produk keropok lekor beku yang dikeluarkan di bawah jenama Pok Leko.

Tempat pertama yang dipilihnya untuk menjalankan bisnes tersebut adalah di Kuantan, Pahang, kerana lokasinya yang berdekatan dengan Kemaman.

Pada waktu itu, Mohd Izzat berkata, pemilihan lokasi itu dibuat kerana dia berjaya mendapat kedai yang terletak di tengah bandar di samping tahap penawaran produk keropok lekor yang masih belum cukup tinggi di kawasan tersebut.

Selepas tiga tahun beroperasi di Kuantan, dia kemudiannya memindahkan operasinya ke Lembah Klang dengan membuka kedai dan kilang pengeluaran keropok lekor di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 2022.

Dia juga memilih untuk menggunakan jenama sendiri yang dikenali sebagai Pok Leko.

315560240_114677214790170_1797510117490949571_n

Kedai Pok Leko yang terletak di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor sejak 2022.

"Saya pilih berpindah ke Lembah Klang kerana pasaran di sini lebih besar berbanding dengan di Pantai Timur.

"Di sana kalau kita pergi ceruk mana-mana pun ada keropok lekor.

"Tapi dekat Lembah Klang ini saya nampak ada peluang kerana kita lihat kedai yang buat keropok lekor ini biasanya jauh-jauh," katanya.

Menurut Mohd Izzat, pada waktu ini, premisnya mampu mengeluarkan sekitar 30 kilogram (kg) keropok lekor sehari di samping turut menghasilkan sos sendiri.

"Kalau ikutkan kapasiti pengeluaran ini masih kecil. Jadi kita sasarkan untuk capai pengeluaran mencecah 60kg sehari," ujarnya.

Produk keropok lekor turut mendapat perhatian beberapa selebriti terkenal tempatan antaranya Zizan Razak, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim dan Dynas Mokhtar.

6253370090196156874

Antara selebriti yang pernah mendapatkan produk Pok Leko.

Keluarkan keropok lekor premium

Dalam pada itu, Mohd Izzat berkata, berbanding dengan keropok lekor biasa, produknya dikatakan lebih premium kerana mempunyai isi ikan lebih 50 peratus.

Malah rasa yang dihasilkan itu juga menurutnya menyamai keropok lekor yang dijual di Terengganu.

WhatsApp Image 2024-12-11 at 17.45.42 (1)

Keropok lekor premium dikeluarkan Pok Leko mempunyai isi ikan lebih 50 peratus.

"Walaupun harganya agak mahal sesuai dengan kualitinya, tapi Alhamdulillah respons daripada pelanggan setakat ini semuanya berpuas hati.

"Mereka cakap memang sedap dan asli Terengganu. Mereka juga kata susah nak dapat keropok lekor macam ini di Kuala Lumpur," ujarnya.

Selain jualan di kedai, Pok Leko juga baru sahaja membuka gerai di dua pasar malam di Kota Damansara yang masing-masing terletak di Seksyen 3 dan Seksyen 8 bermula pada Disember.

Bergerak ke hadapan, Mohd Izzat berkata, selain meluaskan lagi produknya di setiap negeri, dia turut mempunyai perancangan untuk memasarkan Pok Leko ke luar negara

Bagaimanapun, untuk merealisasikan perkara tersebut, pihaknya kini perlu terlebih dahulu menyelesaikan proses bagi mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan MeSTI daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Ada minat yang ditunjukkan oleh kenalan saya di Brunei, Sarawak dan Oman yang sudi untuk tolong saya pasarkan produk saya di sana.

"Begitu juga untuk meletakkan produk saya di pasar raya.

"Cumanya kita berdepan halangan sebab masih dalam proses untuk mendapatkan sijil halal. Proses permohonan sudah pun kami mulakan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram