
KES kematian Muhammad Adham Mikail yang menyayat hati apabila mayatnya disimpan di dalam peti sejuk selama lebih dua minggu di Hospital Bersalin Razif (HBR) jelas menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia.
Selain pihak kerajaan dan pihak berkuasa yang terlibat dalam proses siasatan ke atas hospital terbabit, kini peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar menyuarakan ketegasannya untuk membawa kes tersebut ke muka pengadilan.
Selepas ia dimaklumkan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Mr Wan Cai melalui hantaran Facebook, Ahmad Zaharil tampil menjelaskan dengan lebih lanjut berhubung perkara itu.
BACA LAGI: Mahu tuntut keadilan, waris arwah Muhammad Adham Mikail dilapor terima bantuan peguam terkenal
Ahmad Zaharil menerusi siaran langsung di akaun TikToknya pada awal pagi Khamis lantang mempertahankan ibu bapa mangsa.
Menurut peguam berusia 58 tahun itu, tindakan pihak hospital menahan waris dan jenazah mangsa adalah tidak benar dan mempunyai elemen jenayah.
"Kenapa hospital buat tindakan sendiri dan tak bawa ibu arwah ni ke balai? Ada je balai berdekatan dengan hospital.
"Faktanya di sini adalah pihak hospital tahan jenazah anak itu selama dua minggu. Sepatutnya tak perlu disimpan sebab anak itu dah tiada (meninggal dunia).
"Bukannya bil itu sampai berpuluh ribu, kalau beritahu pasal isu ini mesti akan ada orang nak menolong. Kejamnya manusia, sepatutnya berilah bayi itu dikebumikan dulu," katanya.
Ahmad Zaharil juga meminta kerjasama orang ramai untuk mendapatkan maklumat menyeluruh tentang ibu bapa mangsa untuk membantunya menyelesaikan kes tersebut.
"Aku mesti akan lawan. Kalau korang ada jumpa, suruh dan bawa mak bapa arwah datang jumpa aku dan mari aku saman pihak hospital," jelasnya.
Terdahulu, pihak HBR mengeluarkan kenyataan media yang secara tidak langsung membangkitkan kemarahan ramai kerana dianggap memutarbelitkan dan menyembunyikan cerita sebenar.
Susulan itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil keputusan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram