[VIDEO] Gugur air mata jantan kerana burung enggang, dikejar lanun antara masam manis Edmundo bergelar pemandu pelancong


  • Massa
  • Jumaat, 13 Dis 2024

Ed berpengalaman dalam bidang pelancongan di Sabah sejak 1991 lagi.

MEMULAKAN karier sebagai pemandu pelancong sejak 1991, ia tanpa disedari menjadi pengalaman berharga buat Edmundo Junior yang mampu bertahan dalam bidang tersebut sehingga hari ini.

Meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran, Edmundo atau lebih senang dengan panggilan Ed itu tidak sesekali mengalah demi mengejar minatnya.

Bermula daripada melihat keindahan burung enggang di Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sabah, Ed mengambil keputusan untuk menceburi bidang pelancongan dengan lebih mendalam.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita tunjuk 'keras' duduk dalam kereta halang lori rosakkan jalan di Dengkil

BACA LAGI: Mahu tuntut keadilan, waris arwah Muhammad Adham Mikail dilapor terima bantuan peguam terkenal

Screenshot (4023)

Edmundo kini bekerja sebagai pemandu pelancong di Sabah.

Menurut anak jati Sabah itu, ia merupakan detik yang mengubah hidupnya secara menyeluruh sehingga menjadikannya sebagai seorang pemandu pelancong cemerlang di negeri itu.

"Sebelum saya kerja itu, saya pernah kerja dalam industri kayu balak. Tetapi, ada satu hari itu, kawan ajak jadi pemandu pelancong sehari.

"Dia ajak saya tengok monyet sahaja mula-mula dan masa itulah saya terdengar bunyi burung enggang. Saya jadi teruja dan tanpa sedar jatuh air mata sebab burung itu terlalu cantik.

"Beberapa hari selepas itu, saya ambil keputusan untuk berhenti dan cari kerja sebagai bellboy (pembantu) di hotel-hotel di Sabah," katanya kepada Majoriti.

Katanya, ia merupakan permulaan bagi Ed untuk meneruskan perjalanan dalam bidang pelancongan sebelum lebih serius bekerja sebagai pemandu pelancong.

Namun, itu bukanlah satu perjalanan mudah baginya kerana Ed terpaksa berdepan dengan cabaran mendapatkan kemudahan akses kepada maklumat.

Ed berkata, pada zaman sebelum adanya Google, maklumat hanya boleh diperoleh secara manual iaitu menerusi pembacaan di perpustakaan atau kemahiran bertanya.

sepilok-jungle-resort

Kecantikan burung enggang yang mengubah kehidupan Ed sehingga kini.

"Sejak 2012 saya kerja pemandu pelancong, bukan senang. Bagi saya, kita tak boleh terlalu mengharapkan orang lain dan perlu usaha sendiri.

"Perlu rajin bertanya dengan orang berpengalaman untuk kita cepat belajar. Kalau saya nak pergi hutan ke, saya akan tanya orang berpengalaman di hutan.

"Saya juga banyak belajar daripada seorang sifu iaitu arwah Taimin. Dia merupakan cikgu pertama yang ajar saya tentang burung," katanya.

Ed juga sempat berkongsi bahawa dia pernah dibuli oleh pemandu pelancong senior ketika baru bekerja.

Katanya, mereka akan meminta bayaran sebanyak RM50 untuk satu soalan yang ditanya oleh Ed.

Situasi itu bagaimanapun tidak membuatkan Ed berputus asa dalam mengejar impian dan cita-citanya untuk menjadi pemandu pelancong berjaya serta disenangi ramai.

Bukan itu sahaja, bahasa juga sedikit sebanyak menjadi antara cabaran besar buat Ed.

"Ed memang dibesarkan dalam keluarga selalu belajar bahasa Inggeris, tetapi ia lebih ke arah menulis sahaja.

"Kalau bercakap hanya ayat-ayat asas. Tetapi, semakin lama saya dapat tingkatkan kemahiran bahasa bila bekerja dengan pelancong dari pelbagai negara," jelasnya.

Screenshot (4021)

Ed yang sering memberi tunjuk ajar bukan sahaja kepada pelancong tetapi pemandu pelancong baharu.

Kira-kira lebih dua dekad sebagai pemandu pelancong, Ed juga berkongsi tentang kenangan pahit dan manis yang tidak boleh dilupakannya termasuk menyaksikan kematian pelancong yang dibawa bersama.

Tidak terhenti di situ, Ed juga pernah merasai pengalaman melihat pencerobohan dan dikejar lanun di kawasan perairan di Sabah ketika sedang membawa pelancong bersiar-siar di atas bot.

Katanya, mujur kesemua pelancong termasuk dirinya selamat dengan bantuan pasukan keselamatan yang cekap menghadapi situasi tersebut.

Bagi Ed, menjadi pemandu pelancong bukan sekadar pekerjaan, tetapi peluang untuk berkongsi ilmu.

Sebagai individu yang pernah membimbing pemandu pelancong muda, Ed sering mengingatkan mereka agar sentiasa belajar dan tidak malu bertanya.

"Pernah ada seorang pemandu pelancong tanya kenapa saya suka mengajar orang. Ini sebab bukan senang kalau nak dapat maklumat.

"Saya juga pernah dinasihatkan supaya tak kedekut ilmu pengetahuan. Bila kita mati, ia akan hilang begitu sahaja kalau kita tak kongsikan kepada orang lain.

"Yang penting, minat dan belajar semua tentang industri ini seperti sejarah kehidupan liar, tumbuh-tumbuhan, budaya dan sebagainya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram