Mahu tuntut keadilan, waris arwah Muhammad Adham Mikail dilapor terima bantuan peguam terkenal


  • Massa
  • Rabu, 11 Dis 2024

Peguam Ahmad Zaharil (kanan) yang dikatakan akan membantu ibu bapa arwah Muhammad Adham mendapatkan keadilan.

SELEPAS pelbagai dakwaan dan maklum balas mengulas tentang kronologi kes mayat Muhammad Adham Mikail yang disimpan di dalam peti sejuk selama lebih dua minggu di Hospital Bersalin Razif (HBR), Selangor baru-baru ini, masyarakat akhirnya dapat menarik nafas lega.

Ia selepas satu hantaran dimuat naik di Facebook Mr Wan Cai Official yang memaklumkan bahawa waris arwah menerima bantuan peguam bagi menuntut keadilan terhadap kematian arwah.

"Alhamdulillah, terima kasih Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar sudi bantu ibu bapa baby Adham dapatkan keadilan," tulisnya pada Rabu.

BACA LAGI: Ibu bapa bayi didakwa banyak 'pusing', Hospital Bersalin Razif perjelas isu 2 minggu 'tahan' jenazah beku

BACA LAGI: KKM digesa siasat kes hospital swasta simpan mayat Muhammad Adham Mikail lebih 2 minggu dalam peti ais

Pengguna akaun itu pada masa sama memberikan kenyataan balas ke atas pihak HBR yang mendakwa bahawa waris bayi tersebut banyak memanipulasikan cerita sebenar.

Menurut pengguna tersebut, pihak HBR sedaya upaya cuba untuk menukar kronologi ibu bapa mangsa selepas perkara itu didedahkan.

"Doktor keluarkan kenyataan punyalah putar belit 360 darjah. Tapi doktor lupa ada saksi mata yang datang ke hospital sebelum bayi dan ibunya dilepaskan pada pagi Isnin lalu.

"Kami siap ada bukti resit bayaran itu doktor. Bukti gambar kejadian pun ada. Kawan satu kerja dah bayar RM663 guna duit sumbangan kilat.

"Kawan dengan si ayah dah cuba nak tuntut Adham tapi pihak hospital tak nak lepaskan juga," dakwanya.

Kejadian itu sekali gus meraih perhatian banyak pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM pada masa sama menegaskan akan menjalankan siasatan menyeluruh dan sedang menunggu dapatan penuh daripada semua pihak berwajib.

Setakat ini, belum ada maklum balas dikeluarkan daripada pihak peguam terbabit berhubung perkara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram